UMNO Wujud Bukan Kerana Kebencian, Sebaliknya Demi Perjuangan Bangsa

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad membidas bekas pemimpin parti yang menyifatkan UMNO tidak relevan, sambil menyifatkan ia sebagai tidak berasas.

Menurut beliau, ini kerana kewujudan UMNO atas membawa perjuangan orang Melayu sejak zaman kemerdekaan dan ia diteruskan sehingga ke hari ini oleh para pendukung parti.

“Kalaulah UMNO ni tidak relevan semua Pilihan Raya Kecil (PRK) kalah, sedangkan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mahkota, Air Kuning kita menang. Habis itu yang menang ini tak relevan, kalah relevan?

“Tidak mengapa kalau dia nak kata apa pun UMNO tak relevan yang penting kita berada dalam pentadbiran kerajaan ada menteri UMNO yang bekerja untuk rakyat.

“UMNO tetap relevan selagi UMNO wujud di Tanah Melayu sebab kita dilahirkan bukan pada sebuah kebencian sebaliknya pada sebuah perjuangan menuntut kemerdekaan tanah air, bangsa dan agama,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Tambah Dr Azhar lagi, kenyataan itu dibuat oleh pihak yang cemburu dengan UMNO.

Katanya ini kerana pihak tersebut telah mengecapi pelbagai kejayaan ketika bersama UMNO, namun tidak lagi memperolehi pencapaian tersebut setelah bersama parti lain.

“Yang tak relevan itu individu, tunggu masa kita tolaklah. Dia pun cemburu… UMNO ni parti yang keramat. Siapa tinggal UMNO memang dia akan berdukalah hati dia.

“Jadi Tan Sri Annuar Musa ini sebenarnya termasuk dalam kalangan orang yang berduka, yang cemburu tengok kejayaan UMNO. Nak patah balik, tak boleh.

“Dia telah merasai semua nikmat kuasa pernah jadi menteri, timbalan menteri penuh dengan kekuasaan, penghormatan, penuh dengan kemuliaan dunia. Tapi tiba-tiba hilang oleh sebab dia sendiri buat. Maka dia hendak kembali balik, apa cara nak kembali? Memburukkan UMNOlah,” ujar beliau.

Mengulas lanjut beliau turut berharap semua pihak untuk bersikap rasional dan menunggu pilihan raya bagi menentukan segalanya.

“Relevan atau tidak kita tunggu PRU16 itu menentukannya. Sekarang masa Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri hendak buat kerja bagi peluang dahulu. Sampai PRU16 kita bagi balik mandat kepada rakyat,” ujar beliau.

Respon diberikan Dr Azhar tersebut bagi menjawab kenyataan Annuar Musa yang mengatakan bahawa UMNO adalah ‘Payung Besar’ orang Melayu yang tidak relevan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79