UMNO Bahagian Seputeh Sambut Baik Usul Tubuh PTBWP

KUALA LUMPUR, 17 Jun – UMNO Bahagian Seputeh menyambut baik usul penubuhan Perbadanan Tanah Bumiputera Wilayah Persekutuan (PTBWP), kata ketuanya, Datuk Mohd Razlan Rafii.

Jelasnya, para perwakilan menerima usul tersebut sebulat suara ketika Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Seputeh kerana ia adalah langkah strategik mempertahan dan memperkasa pemilikan hartanah bumiputera dalam bandar.

“Syabas dan terima kasih para Perwakilan UMNO Bahagian Seputeh yang sebulat suara menyokong usul penubuhan PTBWP semasa Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Seputeh 2025 yang berlangsung semalam.

“Kepimpinan UMNO Bahagian Seputeh menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman cadangan ini kerana ia adalah langkah strategik untuk mempertahan di samping memperkasa pemilikan hartanah bumiputera di dalam bandar terutamanya Wilayah Persekutuan yang merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Penubuhan ini bukan sekadar tambahan institusi tetapi adalah manifestasi kepada tuntutan akar umbi yang mahukan tindakan tegas dan bersasar dalam menangani penyusutan hak milik hartanah Melayu dan bumiputera di kawasan berprofil tinggi,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, dengan tertubuhnya PTBWP, tanah strategik bumiputera akan dikenal pasti, dilindungi dan dimanfaatkan secara optimum.

“PTBWP bakal menjadi entiti pengawal selia yang proaktif dalam memastikan pemeliharaan, pemuliharaan dan pembangunan semula tanah bumiputera secara bersepadu serta berimpak tinggi.

“Kita perlu menolak budaya lapuk jual tanah, pindah ke pinggir yang hanya mengikis dominasi ekonomi bumiputera di pusat bandar. Sebaliknya, tanah-tanah belum dibangunkan yang berpotensi besar mesti dikawal rapi, tidak diserahkan secara rambang kepada pemaju tanpa mekanisme perlindungan telus, adil dan pro-bumiputera.

“Dengan tertubuhnya PTBWP, tanah strategik bumiputera akan dikenal pasti, dilindungi dan dimanfaatkan secara optimum. Dalam masa yang sama pemilikan hartanah bumiputera akan dipertingkat secara kolektif dan berskala besar. Diharapkan pembangunan tanah akan kembali semula kepada komuniti asal, bukan ‘terbocor’ kepada golongan berkepentingan luar,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa UMNO Bahagian Seputeh telah memberikan beberapa cadangan termasuklah agar PTBWP ditubuhkan di bawah akta khas yang menjamin kuasa penuh pengurusan tanah bumiputera di Wilayah Persekutuan.

“UMNO Bahagian Seputeh dengan ini mencadangkan supaya PTBWP ditubuhkan di bawah akta khas yang menjamin kuasa penuh pengurusan tanah bumiputera di Wilayah Persekutuan. Selain itu, Setiap pembangunan semula atas tanah tamat tol wajib merangkumi peratusan pemilikan bumiputera yang tidak boleh dilupuskan sewenangnya.

“Ketiga, UMNO Bahagian Seputeh turut mencadangkan agar hanya pemaju yang bersetuju dengan model pembangunan pro-bumiputera boleh diberikan hak membangunkan tanah terlibat dan satu audit menyeluruh dilakukan ke atas tanah-tanah strategik bumiputera di Wilayah Persekutuan untuk dipantau serta dikawal selia oleh PTBWP.

“Kita mahu melihat Wilayah Persekutuan bukan sekadar membangun secara fizikal tetapi turut berkembang sebagai lambang jati diri bangsa Melayu dan Bumiputera yang berdaulat dan berdaya saing,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79