Rakyat Sabah Kekuatan Kebangkitan UMNO/BN, Damba Pembangunan – Sharif Musa

LAHAD DATU, 17 Jun – Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul mendedahkan bahawa permintaan rakyat sendiri mahukan UMNO/Barisan Nasional (BN) kembali menjadi teraju kepimpinan negeri agar pembangunan yang sebelum ini terhenti dapat dilaksanakan sebagaimana sebelum 2018.

Katanya, berdasarkan pelbagai program dan jelajah turun padang yang dilaksana, rakyat ternyata semakin lantang bersuara lantaran mereka telah dua penggal tidak merasai sebarang perkembangan dan kemajuan yang ketara di kawasan masing-masing.

“Rakyat kini mula sedar bahawa masa depan Sabah perlu dikembalikan kepada parti yang mempunyai rekod cemerlang dalam pentadbiran dan pembangunan.

“UMNO bukan janji kosong yang hanya menghiburkan hati rakyat. UMNO Sabah bukan sekadar sebuah parti politik tetapi pencetus kepada perubahan dan kemajuan bagi negeri ini,” tegas Sharif Musa.

Katanya, sejarah UMNO di Sabah membuktikan keupayaan parti dalam membawa pembangunan pesat merangkumi infrastruktur, pendidikan, ekonomi dan kebajikan rakyat, termasuklah projek mega seperti Lebuhraya Pan Borneo yang merupakan simbol kejayaan dasar pembangunan UMNO.

“Tetapi kini pembangunan seakan terhenti, dan yang paling terkesan adalah rakyat. Maka, UMNO perlu kembali memperjuangkan suara rakyat dan memainkan peranan sebagai platform khidmat terbaik kepada mereka,” tambah beliau.

Sharif Musa berkata demikian susulan kejayaan Program Radu Tatap Radu yang berlangsung di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pangi, pada Ahad yang disambut meriah dengan kehadiran pimpinan UMNO pelbagai peringkat.

Program itu turut dirasmikan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Yakub Khan selain ceramah hala tuju parti yang disampaikan oleh Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Turut hadir memeriahkan program ialah Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Noraini Idris; Ketua Pemuda UMNO Sabah, Sufian Karim; Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Musliati Moslimin; Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Samasuddin Yusop; Ketua UMNO Bahagian Tawau, Ghazali Ansing; serta barisan kepimpinan UMNO negeri dan bahagian lain.

Dalam kesempatan terbabit, Sharif Musa turut merakamkan penghargaan kepada Penyelaras DUN Kunak merangkap Ketua Pemuda Lahad Datu, Datuk Seri Dr Anil Sandhu; Timbalan Ketua Bahagian, Saleha Abd Wahid; Ketua Wanita, Royanie Rafael; Ketua Puteri, Nor Milah MadBaral serta semua AJK dan Ketua-Ketua Cawangan serta PDM yang menjayakan program ini.

“Kita bersyukur, program ini bukan sahaja menyatukan semula ahli dan pimpinan di peringkat akar umbi, tetapi juga mengukuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap perjuangan UMNO di Sabah,” katanya.

Program ini, ujar beliau, adalah bukti bahawa UMNO terus komited untuk mendekati dan mendengar denyut nadi rakyat dalam usaha merancang masa depan yang lebih baik bagi negeri Sabah. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79