Persidangan UMNO: Naratif Baharu, Zahir Kesatuan Untuk Bangkit Semula
KUALA LUMPUR, 17 Jun – Persidangan UMNO peringkat bahagian yang telah bermula pada 9 Jun lalu diharap bakal dapat melahirkan naratif baharu dalam menzahirkan kesatuan untuk bangkit semula.
Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain berkata, meskipun diuji pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan 15 yang lalu, UMNO masih ditakdirkan menjadi kerajaan untuk mengimbangi pentadbiran negara.
“Bahagian saya, Bangi akan bersidang pada 21 Jun ni. Ini adalah antara bahagian yang terawal bersidang di Negeri Selangor. Untuk persidangan kali ini saya mengharapkan agar kita melahirkan naratif baharu yang menunjukkan kesatuan, keutuhan dan kebangkitan semula kita.
“Ini kerana pada PRU ke-14, kita kalah. PRU yang ke-15 pun kita kalah. Tetapi alhamdulillah kita masih lagi menjadi sebahagian daripada kerajaan. Tetapi kita tidak boleh leka dalam keadaan sebegini.
“Kita punya DNA sebagai pemimpin. Dah lebih 60 tahun kita memerintah negara ini. Jadi biasalah, jatuh bangun itu merupakan adat. Tapi kita tidak boleh berada lama dalam keadaan ini,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bangi menegaskan bahawa ahli dan akar umbi yang setia menjadi pendorong kepada kekuatan parti untuk menempuhi segala cabaran politik.
“Jadi kita perlu membina satu naratif baharu di peringkat bahagian untuk membangkitkan semangat terutama sekali dikalangan ahli. Ahli di peringkat akar umbi inilah sebenarnya yang menjadi pendorong kepada kekuatan UMNO.
“Mereka menjadi tulang belakang kepada kekuatan UMNO itu sendiri meskipun ketika kita kalah pada PRU ke-14. Jadi, kita perlu gemburkan semangat dan sokongan mereka kepada parti UMNO itu sendiri,” katanya.
Untuk rekod, persidangan UMNO di peringkat cawangan-cawangan seluruh negara telah berlangsung pada 7 April 2025 sehingga 25 Mei 2025 yang lalu.
Persidangan UMNO peringkat bahagian pula telah bermula pada 9 Jun 2025 dan akan berakhir pada 27 Julai 2025 dan Perhimpunan Agung UMNO bakal berlangsung pada 20 sehingga 23 Ogos 2025. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman