Musliati Seru Terus Perkukuh UMNO, Raih Sokongan Golongan Muda
KOTA KINABALU, 17 Jun – Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Musliati Moslimin menegaskan bahawa penglibatan aktif golongan muda, khususnya daripada Pergerakan Puteri UMNO, amat penting dalam memastikan kelangsungan perjuangan parti di Sabah.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kota Kinabalu yang telah berlangsung dalam suasana penuh semangat dan komitmen daripada para perwakilan.
Menurut Musliati, keanggotaan baharu daripada kalangan wanita muda perlu dipergiatkan sebagai satu langkah strategik untuk memperkukuh saf kepimpinan pelapis dalam parti.
“UMNO Bahagian Kota Kinabalu akan terus mempergiatkan usaha menambah keahlian baharu, khususnya dalam kalangan wanita muda. Golongan ini bukan sahaja mewakili suara generasi baharu, malah mereka adalah agen perubahan yang boleh membantu memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap UMNO,” katanya kepada UMNO Online.
Maklumnya, menerusi ucapannya, beliau turut menggariskan keperluan untuk seluruh jentera, termasuk Puteri UMNO, bersiap siaga menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal menjelang.
Jelasnya, PRN kali ini akan menjadi medan penentu jatuh bangunnya UMNO Sabah.
“Kita mesti bersatu hati, berganding bahu dan menggembleng tenaga sepenuhnya untuk membantu parti mencapai kemenangan. Ini bukan masa untuk berpeluk tubuh. UMNO Sabah memerlukan kekuatan daripada semua peringkat, termasuk Puteri, untuk kembali bangkit,” ujar Musliati.
Beliau turut menyeru agar semua ahli, khususnya golongan muda, memainkan peranan aktif dalam masyarakat agar rakyat dapat melihat bahawa UMNO sentiasa membawa agenda perjuangan yang menjurus kepada kepentingan rakyat.
“Anak muda seperti Puteri bukan sekadar pelengkap organisasi, tetapi adalah nadi penggerak perubahan. Kita mahu mereka turun ke lapangan, mendekati rakyat, menyantuni komuniti dan menunjukkan bahawa UMNO masih relevan dan prihatin terhadap isu rakyat,” tambahnya.
Katanya lagi, mesyuarat tersebut turut menjadi medan untuk membincangkan pelbagai agenda pemerkasaan Puteri UMNO serta strategi mendepani PRN Sabah.
“Kehadiran yang memberangsangkan daripada perwakilan menunjukkan iltizam tinggi untuk meneruskan perjuangan UMNO demi agenda agama, bangsa dan negara,” katanya lagi. – UMNO Online