Mohamad Hasan Terima Kunjungan Hormat Duta Malaysia Ke AS
KUALA LUMPUR, 17 Jun – Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) yang baharu, Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO memaklumkan pelbagai perkara disentuh pada pertemuan tersebut terutama membabitkan hubungan dua hala antara Malaysia dan AS.
Pada kesempatan sama, Mohamad turut sama mengucapkan selamat maju jaya kepada Muhammad Shahrul.
“Sebentar tadi menerima kunjungan hormat daripada TYT Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob, Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat yang baharu dilantik.
“Kami berbincang mengenai hala tuju dan strategi memperkukuh hubungan dua hala Malaysia–Amerika Syarikat, termasuk kerjasama dalam bidang ekonomi, pendidikan dan keselamatan serantau.
“Selamat menjalankan amanah, Tan Sri!” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Pada 3 Jun lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat menyempurnakan Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Duta Besar Malaysia ke AS kepada Muhammad Shahrul.
Merupakan bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Luar, Muhammad Shahrul yang berasal dari Pahang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam bidang Ekologi Universiti Malaya serta pernah mengikuti Program Pengurusan Lanjutan di Harvard Business School, AS. – UMNO Online