Kekal Bersepadu Sebagai Satu Pasukan, Demi Masa Hadapan Generasi Pewaris – Johari

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Bersempena Mesyuarat Bahagian yang dilaksanakan pada ketika ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyeru ahli parti untuk terus bersepadu dalam melaksanakan perjuangan kepada agama, bangsa dan negara.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, ini kerana kesepaduan dalam berparti elemen penting untuk menjaga kestabilan politik.

“Saya menyeru semua Bahagian agar kekal bersatu dan bergerak sebagai satu pasukan demi masa hadapan generasi pewaris.

“Kemakmuran negara berpaksikan kestabilan politik dan semangat perkongsian kuasa yang ikhlas. Inilah asas kepada keharmonian serta pembangunan yang berterusan,” katanya.

Johari berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook berkongsi kehadirannya pada Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap, Pokok Sena, Jerlun dan Nibong Tebal.

Dalam pada itu, beliau turut sama merakamkan penghargaan kepada seluruh barisan kepimpinan bahagian-bahagian.

Khususnya kepada Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Ketua UMNO Bahagian Pokok Sena, Datuk Said Ali Syed Rastan; Ketua UMNO Bahagian Pokok Jerlun, Datuk Othman Aziz serta Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal, Datuk Rashidi Zinol kerana telah menjayakan Mesyuarat Perwakilan dengan penuh jayanya.

Untuk rekod pada 12 Mac lalu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah memutuskan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada 9 Jun hingga 27 Julai dan 20 Ogos hingga 23 Ogos bagi Perhimpunan Agung UMNO 2025. – UMNO Online

 

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79