Jangan Terpedaya Naratif Burukkan UMNO, Tolak Politik Sempit – Tengku Azman

KUALA LUMPUR, 17 Jun – UMNO Bahagian Bukit Bintang menegaskan komitmennya untuk terus mempertahankan Islam dan Melayu dalam perjuangan parti, serta menolak sekeras-kerasnya sebarang cubaan memecah-belahkan perpaduan demi kepentingan politik sempit.

Ketuanya, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata, ahli parti perlu kekal bersatu dan berdisiplin dalam perjuangan, ibarat sebuah pasukan bola sepak yang hanya memasuki padang untuk mencapai kemenangan, bukan sekadar penyertaan.

“Kita telah memilih berada dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan negara. Namun, ramai di luar sana masih mahu melihat UMNO hancur.

Pelbagai tohmahan dilemparkan. Fitnah, manipulasi, provokasi, dan naratif sempit yang memperdaya rakyat diangkat dan diwar-warkan sehingga kebenaran dan kebatilan sukar dibezakan, dari tuduhan kononnya kita bersekongkol dengan Dap, hingga naratif sempit bahawa Islam terancam dan Melayu ditindas” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Mesyuarat Wanita UMNO Bahagian Bukit Bintang pada Ahad.

Tengku Azman turut menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan hari ini melibatkan 18 parti politik dan bukannya hanya UMNO dan Dap sahaja sebagaimana digambarkan pembangkang.

“Lihat saja pencapaian sepanjang kita bersama kerajaan ini, Dasar Tahfiz Negara, sekolah Ulul Albab, MARA, MRSM, TVET yang kesemuanya adalah berkaitan Islam dan Bumiputera terus diperkasa.

“Apakah ini gambaran Melayu dan Islam ditindas? Jangan mudah terpedaya dengan permainan sentiment pihak lawan yang mahu memecahkan perpaduan kita.”

Tengku Azman turut menyindir tindakan pihak yang cuba menubuhkan entiti baharu atas nama “payung besar Melayu” dan mempersoalkan keikhlasan mereka.

“Kalau benar-benar ikhlas demi perpaduan Melayu dan Islam, bubarkan sahaja parti-parti serpihan dan kembali ke rumah UMNO yang lebih kukuh dan berakar umbi. Jangan hanya jadi payung yang akan diterbangkan badai.”

Mengulas lanjut mengenai hubungan dengan Perikatan Nasional, beliau menyatakan bahawa UMNO sudah beberapa kali “ditikam dari belakang” oleh pihak yang sama.

“Cukuplah. Pokok pisang tidak berbuah dua kali. Kita tidak boleh tidur sebantal dengan mereka yang dalam diam berniat membenamkan kita.”

Dalam ucapannya, beliau turut menyeru semua ahli dan kepimpinan UMNO untuk terus berpegang pada prinsip, tidak terpengaruh dengan provokasi, dan bersama-sama memperkukuh perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air.

“UMNO Bukit Bintang tidak akan membenarkan Islam dan Melayu diperlekehkan atau dijadikan batu loncatan demi kepentingan peribadi. Kita akan terus menjadi benteng pertahanan kepada UMNO,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79