Isu Air Di Libaran: UMNO Desak Kerajaan Negeri Bertindak Segera

LIBARAN, 17 Jun – UMNO Bahagian Libaran menggesa Kerajaan Negeri Sabah di bawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk segera menyelesaikan masalah bekalan air bersih yang berlarutan di kawasan Parlimen Libaran.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Libaran, Shariff IsmarHafiz Sh Abd Rahman menyuarakan kebimbangan serius terhadap situasi yang menjejaskan kehidupan harian penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gum-Gum, Sungai Manila dan Sungai Sibuga.

Maklumnya, antara kampung yang terkesan termasuk Rancangan Luboh Peringkat 6, Sebait, Tanjung Pisau, Banting, Dandulit, Sungai Beruang, Sungai Monyet, Mamanjang dan Rancangan Sungai Manila.

“Walaupun paip utama telah siap, bekalan air masih tidak sampai kepada pengguna. Penduduk terus bergantung kepada catuan air, dengan tekanan air yang sangat rendah,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal terbabit.

Menurut beliau, isu ini telah berkali-kali dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Sibuga, Datuk Mokran Ingkat, namun masih tiada penyelesaian tuntas di pihak kerajaan negeri.

“Kelewatan projek termasuk pembinaan tangki simpanan air di Batu 12 yang hanya dijangka siap pada Julai 2026 adalah satu bukti kelemahan pengurusan. Rakyat tidak boleh terus menunggu begitu lama untuk sesuatu keperluan asas seperti air bersih,” tegasnya.

Beliau turut menekankan bahawa air bersih adalah hak asas setiap rakyat dan mesti disalurkan tanpa diskriminasi.

Justeru katanya, UMNO Libaran mendesak agar penyelesaian interim disediakan segera demi menjamin kesejahteraan rakyat di kawasan terbabit. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79