Ahmad Zahid Rakam Takziah Kepada Keluarga Mendiang G. Palanivel

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Datuk Seri G. Palanivel, bekas Presiden MIC dan mantan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, yang telah meninggal dunia pagi tadi.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, pemergian mendiang bukan sekadar kehilangan seorang tokoh politik, tetapi juga kehilangan besar buat negara yang pernah menerima sumbangan besar daripada beliau dalam pelbagai bidang, terutamanya dalam pembangunan negara.

“Dalam diam dan tenang perwatakannya, tersimpan jiwa pemimpin yang banyak menabur bakti kepada rakyat dan tanah air. Buat keluarga besar MIC dan Barisan Nasional, kehilangan ini pastinya amat dirasai,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Ahmad Zahid turut menyifatkan mendiang sebagai figura yang menyatukan, seorang pembimbing serta sahabat yang amat dihormati sepanjang menjawat jawatan sebagai Presiden MIC, Ahli Parlimen dan Menteri Kabinet.

“Segala jasa, pengorbanan dan khidmat beliau sepanjang bergelar Presiden MIC, Ahli Parlimen dan Menteri Kabinet akan terus hidup dalam lipatan sejarah dan ingatan kita semua. Semoga keluarga mendiang dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat penuh duka ini. Negara turut berkabung bersama kalian,” katanya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79