Untuk UMNO Kekal Relevan… Ahli Parti Digesa Terus Setia

PORT DICKSON, 16 Jun – Untuk memastikan UMNO kekal relevan dan diterima semula oleh rakyat, ahli serta akar umbi digesa untuk terus menaburkan kesetiaan mereka terhadap parti.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pada masa yang akan datang UMNO berkeupayaan untuk bangkit semula meskipun sedang diuji pada ketika ini.

“Kalau kita ada kuasa dan kita tidak pernah bersyukur… tunggulah. Dari merdeka jadi pemerintah, kenapa selepas 2018 kita tidak kekal? Ini kerana rasa bersyukur itu semakin menipis. Selepas (kekalahan) itulah saya tubuhkan Perikatan Nasional (PN) supaya UMNO jadi kerajaan.

“Istiqamah, ini ujian Allah… kita redha. Saya ingin sedarkan diri dan ahli-ahli UMNO supaya bertahan dengan ujian ini. Insya-Allah yang lebih baik akan datang kemudian. Dalam keadaan ini, saya rasa UMNO/Barisan Nasional (BN) akan bangkit semula. Dalam politik ini ada putarannya. Mereka pernah di bawah, kita juga pernah di bawah. Kenapa kita naik semula?

“Dalam keadaan begini, kita tinggal 26 kerusi Parlimen. Ketika ini, mereka (MCA dan MIC) sedang diuji. Jangan pernah tinggalkan kawan-kawan kita. Bawa mereka balik, seperti mereka pernah bantu semasa kita susah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Port Dickson, di sini, pada Ahad.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, akar umbi dan jentera perlu menjalinkan kerjasama baik dengan rakan komponen BN serta Pakatan Harapan dalam merealisasikan impian untuk menjadi kerajaan yang dominan.

“Ketika diuji jangan lari… istiqamah dan punya daya tahan. Kalau itu dapat kita pertahankan, Insya-Allah rezeki tidak akan salah alamat. Ketika diuji, kawan-kawan jangan ditinggalkan. Itulah sebabnya kita lihat apabila rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan diuji… itu ketika mereka diuji. Kita telah diuji lama lagi. Ketika ini rakyat telah bandingkan dengan zaman pemerintahan BN. Rakyat sangat rindu kepada kerajaan BN.

“Kalau mahu jadi kerajaan semula, kita wajib dominan. Untuk dominan, pastikan akar umbi terutamanya jentera jalin kerjasama baik dengan rakan-rakan PH dan BN. Nak timbulkan soal UMDap? Kita berkawan dengan MIC dan MCA dari tahun 1955. Ketika itu, orang yang tidak suka dengan UMNO cakap kita kafir.

“Padahal sunatullah menentukan kemajmukan negara ini hidup dengan pelbagai kaum. Ini hakikatnya. Kepelbagaian harus dijamin. Setakat ini kita tidak pernah meminggirkan rakan-rakan dari bangsa lain. UMNO tidak ada hubungan langsung dengan Dap. Kita BN-PH. Dalam dua tahun setengah berkawan dengan Dap ini, saya diberikan amanah oleh PMX sebagai Pengerusi Kongres Ekonomi Bumiputera. Saya kemukakan inisiatif-inisiatif di kabinet. Tidak ada seorang pun Menteri Dap sanggah agenda tersebut,” katanya lagi.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid turut menzahirkan keyakinan bahawa UMNO Negeri Sembilan yang dipimpin oleh Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias akan dapat terus diperkukuhkan dalam usaha menjadi dominan semula.

“Terlalu ramai harapkan UMNO/BN dominan semula. Ingat, ahli-ahli UMNO/BN tidak cukup untuk menangkan calon. Kita mesti menyantuni mereka yang bukan ahli termasuklah rakyat secara keseluruhannya. Kita mesti jawab isu dengan segera, kita mesti punya daya tahan, juang dan saing yang kuat.

“Jadi dalam keadaan begitu saya memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada Jalaluddin dan ketua-ketua UMNO Bahagian Negeri Sembilan ini… dengan dukungan semua pemimpin empat peringkat, kita mesti bukan jalan baharu.

“Saya amat yakin UMNO Negeri Sembilan berada di dalam keadaan teguh dan bertambah kuat. Begitu juga di Port Dickson, semoga apa yang saya harapkan dapat terus dipertingkatkan. Insya-Allah UMNO akan kembali kuat,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79