UMNO Tidak Pernah Gadai Prinsip, Kerjasama Demi Kestabilan Negara – Tengku Adnan

PUTRAJAYA, 16 Jun – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan bahawa dakwaan kononnya UMNO menggadaikan prinsip apabila bekerjasama bersama Dap adalah tidak berasas dan bersifat selektif terhadap sejarah politik negara.

Menurut beliau, pihak yang terlebih dahulu membuka pintu kerjasama dengan Dap adalah Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri ketika membentuk gabungan dalam pembangkang atas hasrat menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada PRU14 lalu.

“Yang pertama sekali bekerjasama dengan Dap dan ‘melingkupkan’ orang Melayu adalah Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau membentuk pakatan bersama parti-parti pembangkang, menabur pelbagai tuduhan dan fitnah terhadap kepimpinan BN demi menjatuhkan kerajaan ketika itu,.

“Mereka inilah yang merosakkan bangsa, tapi kemudian semuanya dituding kepada UMNO dan parti kita dijadikan manipulasi untuk dipersalahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena persidangan Mesyuarat UMNO Bahagian Putrajaya yang berlangsung pada Sabtu.

Tengku Adnan yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya turut mengingatkan ahli-ahli UMNO dan rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan naratif yang dibawa oleh pihak tertentu yang kini cuba memutarbelitkan fakta demi kepentingan politik sempit mereka.

“Kita tak boleh cepat lupa. Jangan mudah terpedaya dengan suara-suara sumbang yang mahu melihat kita terus berpecah. Lihat saja Putrajaya hari ini apabila Ahli Parlimen yang dipilih, menang hasil daripada memburukkan BN tapi tak nampak bayang,” jelasnya lagi.

Mengulas mengenai komitmen UMNO dalam Kerajaan Perpaduan, beliau menyatakan bahawa parti itu kekal konsisten dalam memperjuangkan agama, bangsa dan negara biarpun berdepan pelbagai cabaran.

 

“UMNO hari ini berada bersama dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan negara, bukan kerana kuasa semata-mata

“Kita mahukan kestabilan negara. Ikutkan apa perlunya nak berhempas pulas tapi demi agama dan bangsa, kita perlu terus bekerja, tegakkan kembali perjuangan UMNO dan jadi dominan demi masa depan rakyat.

“Banyak lagi masyarakat di bawah yang susah, ramai yang perlukan bantuan dan sokongan maka ini adalah tanggungjawab kita untuk terus melaksanakan khidmat,” tegas beliau.

Dalam hal ini, Tengku Adnan menyeru ahli-ahli UMNO di semua peringkat agar memahami dengan mendalam konsep Kerajaan Perpaduan yang dibentuk atas dasar kepentingan nasional, bukan kompromi terhadap perjuangan parti.

“Ini bukan soal jual prinsip, tapi soal menyelamatkan negara daripada terus terjerumus dalam ketidaktentuan politik. Kita pilih jalan sukar demi kestabilan dan masa depan negara,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79