UMNO Tidak Gentar Mana-mana Parti, Terus Kekal Berprinsip – Nur Hidayah
KUALA LUMPUR, 16 Jun – UMNO menegaskan bahawa parti itu tidak pernah gentar dengan mana-mana parti lain termasuk Dap dalam Kerajaan Perpaduan, sebaliknya kekal teguh dengan prinsip perjuangan yang berpaksikan Perlembagaan UMNO dan Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Bendahari Puteri UMNO Negeri Sembilan, Nur Hidayah Abu Bakar, UMNO bukan sebuah parti kecil yang mudah digugat, malah memiliki akar umbi yang kukuh serta sejarah panjang dalam membela agama, bangsa dan tanah air.
“Dap bukan penentu hala tuju UMNO. Segala dasar dan keputusan strategik parti dibuat berlandaskan prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, hak istimewa Melayu dan Bumiputera serta institusi Raja-Raja Melayu,” tegas beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Nur Hidayah turut menegaskan bahawa UMNO tidak akan berkompromi dalam hal yang menyentuh soal maruah agama, bangsa dan tanah air.
Katanya, kerjasama dalam kerajaan perpaduan, katanya, adalah berasaskan prinsip saling menghormati dan bukan tunduk kepada mana-mana tekanan pihak tertentu.
“UMNO kekal serius dan kukuh dengan pendiriannya. Kita tidak bergerak mengikut telunjuk sesiapa, tetapi sentiasa menapis setiap keputusan berdasarkan prinsip dan neraca perjuangan yang jelas.”
Beliau turut mengakui bahawa kebimbangan akar umbi terhadap Dap merupakan sesuatu yang difahami oleh pucuk pimpinan parti, namun UMNO sebagai parti yang matang sentiasa memberikan penerangan bagi membina keyakinan bahawa tidak ada mana-mana klausa dalam Perlembagaan yang digadai.
Mengulas lanskap politik semasa, beliau menjelaskan bahawa UMNO tidak boleh bersikap angkuh atau bertindak secara solo dalam situasi politik yang semakin kompleks hari ini.
“Kerjasama politik hari ini memerlukan kematangan dan kolaborasi yang ikhlas demi kepentingan rakyat, bukan semata-mata untuk melemahkan satu sama lain,” katanya.
Nur Hidayah turut menyeru seluruh ahli parti agar kekal fokus untuk memperkukuhkan kekuatan dalaman dan membina semula kepercayaan rakyat.
“Sejarah UMNO adalah sejarah keberanian, bukan ketakutan. Kita gerak bersama, mara ke hadapan demi masa depan negara,” tegasnya lagi. – UMNO Online