UMNO Kalabakan Kukuhkan Komitmen Melalui Persidangan Menjelang PRN Sabah

KALABAKAN, 16 Jun – UMNO Bahagian Kalabakan terus memperkukuh persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 apabila Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian P.191 Kalabakan berlangsung dengan penuh semangat dan komitmen.

Ketuanya, Samasuddin Yusof, menyifatkan majlis ini bukan sekadar penyampaian laporan tahunan, tetapi medan memperbaharui iltizam perjuangan, menilai pencapaian, dan menyusun strategi lebih agresif untuk memastikan UMNO kekal relevan serta diterima masyarakat di keempat-empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Kalabakan.

“Tahun ini adalah tahun yang penting buat UMNO Kalabakan. Selepas majlis ini, kita akan bergerak lebih agresif di semua DUN untuk memastikan kesiapsiagaan jentera dan sokongan rakyat terus dipertingkatkan,” tegas beliau.

Ujarnya, mesyuarat UMNO Bahagian terbabit telah dirasmikan oleh Pengerusi UMNO Negeri Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang turut membawa isyarat jelas bahawa solidariti antara negeri terus diperkukuhkan menjelang PRN akan datang.

Lebih membanggakan, katanya, UMNO Kalabakan menerima suntikan semangat luar biasa daripada UMNO Negeri Perak apabila Saarani mengumumkan penempatan jentera UMNO Perak secara rasmi di Kalabakan sebagai persediaan menghadapi PRN Sabah ke-17.

“Langkah ini membuktikan kesepakatan dan kebersamaan dalam memperkuatkan perjuangan parti di Sabah.

“Solidariti daripada UMNO Negeri Perak sangat kami hargai. Ini bukan sahaja memberikan kekuatan tambahan dari segi jentera, malah membakar semangat kami untuk terus istiqamah di landasan perjuangan ini,” tambah Samasuddin.

Jelasnya lagi, hasil mesyuarat turut menyaksikan kehadiran perwakilan dari seluruh cawangan UMNO Kalabakan termasuk sayap Wanita, Pemuda dan Puteri, menandakan kesatuan dan kesiapsiagaan jentera parti dalam berdepan cabaran pilihan raya yang semakin hampir. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79