Tidak Perlu ‘Payung Besar’… UMNO Pejuang Kekuatan Melayu, Islam – Jalaluddin

PORT DICKSON, 16 Jun – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menegaskan bahawa gagasan ‘payung besar’ tidak diperlukan kerana UMNO sudah menjalankan tugas sebaiknya untuk memperjuangkan kekuatan Melayu dan agama Islam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mencetuskan bibit perpecahan orang Melayu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dengan menubuhkan PPBM.

“Mengikut data yang saya peroleh, jika ramai pengundi Melayu yang berada di PDM tersebut, kita kalah. Bukan orang Melayu tidak menyokong, tetapi perosak utama kepada perpaduan Melayu ini… seperti saya katakan, pada 2018 kenapa kita kalah?

“Ia kerana fitnah yang dibuat oleh bekas Presiden kita, Tun Dr Mahathir Mohamad. Ketika itu (2018), beliau berbincang dengan Lim Kit Siang supaya ditubuhkan PPBM untuk hancurkan UMNO.

“Berapa ramai pemimpin UMNO yang dibawa lari ke PPBM sehingga kita ‘kacau bilau’ termasuklah di peringkat cawangan-cawangan. Kita hadapi pilihan raya dalam keadaan yang tidak stabil. Sebab itulah kita kalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Port Dickson, di sini, pada Ahad.

Jelasnya, UMNO telah terbukti menjadi wadah kepada penyatuan orang Melayu dan bumiputera sejak merdeka melalui pemikiran, tenaga dan fitrah dalam memperjuangkan agama, bangsa serta tanah air.

“Pada saya, tutup PPBM ini… ambil dan masuk ke dalam UMNO semula. Ini kerana mereka yang terlibat menubuhkan PPBM kononnya untuk penyatuan, harus masuk balik ke dalam UMNO.

“Ini nak buat pula ‘payung besar’ supaya orang Melayu dapat disatukan. Nak satukan apa? UMNO selama 79 tahun telah menyatukan pemikiran, tenaga dan fitrah Melayu untuk memperjuangkan agama, bangsa serta negara.

“Tidak perlu lagi ‘payung besar’ ini. Telah terbukti bahawa UMNO yang selama ini memperjuangkan kekuatan Melayu dan juga agama Islam,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa mesyuarat UMNO di peringkat bahagian yang sedang berlangsung pada ketika ini adalah untuk menentukan kedudukan UMNO pada masa akan datang.

“Tahun 2025 ini adalah persidangan untuk menentukan kedudukan UMNO di dalam pentadbiran Negeri Sembilan dan negara. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada MCA dan MIC kerana masih bersama dengan perjuangan UMNO/Barisan Nasional (BN). Dengan itu, kita perlu bina dan perkukuhkan semua aspek.

“Ketua UMNO Bahagian Port Dickson, Datuk Faizal Ramli ada mengatakan bahawa kita masih ada lagi beberapa isu yang berkaitan dengan persefahaman Kerajaan Perpaduan kita, antara BN dan Pakatan Harapan (PH).

“Dikatakan Dap menguasai kerajaan dan pemikiran pemimpin-pemimpin UMNO. Saya tidak mahu mempertahankan Dap. Tetapi saya nak beritahu dalam keadaan dan suasana politik sekarang, dengan data telah saya baca… mana mungkin UMNO dapat bertahan kalau kita pergi bertanding secara solo.

“Saya beritahu kepada pimpinan MCA dan MIC bahawa keadaan politik kita sekarang ini dah dinamik. Kita nak sesuaikan keadaan politik kita dengan suasana semasa supaya UMNO/BN tetap relevan,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79