Sekretariat Orang Melayu Taktik Desperado, Bukan Perjuangan Penyatuan
KUALA LUMPUR, 16 Jun – Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Mohamad Fadil Md Zin menyifatkan pembentukan Sekretariat Orang Melayu oleh Tun Dr Mahathir Mohamad bukanlah satu bentuk perjuangan, sebaliknya hanya helah desperado politik untuk kembali relevan selepas kehilangan sokongan rakyat.
Menurut beliau, langkah Tun Mahathir itu jelas menunjukkan kegagalan bekas Perdana Menteri tersebut membina kepercayaan rakyat, lalu cuba membungkus politik dendam dan kehampaan kuasa di bawah slogan penyatuan Melayu.
“Sekretariat ini bukan platform ikhlas menyatukan bangsa, tetapi helah politik lama yang cuba menyamar sebagai gerakan perjuangan. Rakyat khususnya orang Melayu sudah terlalu lama menjadi mangsa kepada naratif yang digunakan semata-mata untuk selamatkan kedudukan individu tertentu,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal terbabit.
Mohamad Fadil menegaskan, UMNO tidak menolak usaha menyatukan Melayu, malah ia adalah teras utama perjuangan parti, namun, usaha itu mesti datang daripada niat yang tulen dan landasan yang sah, bukan dari tokoh yang telah berkali-kali memecah-belahkan bangsa demi kepentingan peribadi.
“Sekretariat Mahathir bukan jalan ke hadapan, tetapi satu langkah ke belakang. Ia adalah usaha terakhir seorang tokoh politik yang telah ditolak rakyat untuk kembali menagih simpati melalui permainan sentimen kaum,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan rakyat agar tidak terpedaya buat kali seterusnya dengan strategi politik yang dibalut retorik lama tetapi kosong makna.
“Orang Melayu hari ini sudah cukup matang. Mereka tidak perlu lagi dijadikan alat politik oleh mana-mana individu yang cuba menghidupkan semula pengaruh mereka dengan berselindung di sebalik nama Melayu,” tambah beliau.
Katanya lagi, UMNO akan terus teguh memperjuangkan penyatuan dan masa depan bangsa melalui cara yang bermaruah, berprinsip dan terbukti berkesan.
“PRU16 adalah pentas untuk membuktikan bahawa penyatuan sebenar tidak datang dari mereka yang ditolak rakyat, tetapi dari parti yang tetap berdiri di sisi bangsa sejak 1946,”
“Kita gerak bersama dan bukan ikut bayang-bayang masa lalu,” tegas Mohamad Fadil lagi. – UMNO Online