RM300 Juta Untuk Modenisasi Perikanan, Kerajaan Komited Sejahterakan Komuniti Nelayan

PUTRAJAYA, 16 Jun – Kerajaan terus memperkukuh komitmennya dalam mensejahterakan komuniti nelayan negara apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan peruntukan RM300 juta bagi memodenkan sektor perikanan nasional.

Pengumuman itu dibuat susulan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pembangunan dan Pemerkasaan Nelayan (JPT-PPN) yang dipengerusikan beliau hari ini, sekali gus menjadi langkah awal ke arah transformasi menyeluruh industri perikanan negara yang melibatkan lebih 144,000 nelayan.

“Sektor ini adalah tunjang keterjaminan makanan negara. Kerajaan serius untuk memastikan pendapatan nelayan ditingkatkan, sistem subsidi diperbaiki, dan sumber laut terus terpelihara,” ujar beliau menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Jelas beliau, antara inisiatif utama yang dibincangkan termasuk pelaksanaan Projek Transformasi Ekonomi Nelayan Melalui Akuakultur (TEMAN-AKUA) di Melaka, Negeri Sembilan dan Perlis yang bakal melibatkan 1,100 nelayan tidak berlesen.

“Dengan peruntukan RM5 juta, program ini dijangka menjana pulangan sehingga RM50 juta setahun dan meningkatkan pendapatan isi rumah sehingga RM10,000 sebulan.

“Kerajaan juga akan menubuhkan institusi memperkasakan nelayan di Lumut untuk melatih nelayan tempatan melalui program kemahiran, keusahawanan dan geran sehingga RM200,000 diperuntukkan bagi mengurangkan kebergantungan kepada kru asing.”

Maklumnya, dua skim baharu bernilai RM300 juta telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13), iaitu Skim Pembiayaan Pemacu Perikanan Tangkapan dan Skim Geran Padanan bagi menggantikan pukat tunda dan bot sedia ada ke arah amalan perikanan yang lebih lestari.

“Dalam masa yang sama, subsidi diesel melalui SKDS 2.0 terus disasarkan dengan lebih cekap dan telus susulan kejayaan Ops TIRIS yang menyelamatkan negara daripada ketirisan melebihi RM400 juta.”

Jelas Ahmad Zahid, libat urus yang dijalankan bersama komuniti nelayan sebelum ini telah mengenal pasti 37 isu utama iaitu 46 peratus daripadanya telah pun diselesaikan manakala selebihnya sedang dilaksanakan secara berperingkat.

“Kepada semua komuniti nelayan di seluruh negara, yakinlah bahawa kita tidak akan berkompromi dengan ketirisan.

“Kita akan terus menumpukan dasar bersasar, memperkasa anda sebagai pemain penting dalam ekosistem makanan negara, dan membawa industri ini melangkah ke depan dengan lebih berani dan berdaya tahan. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79