Kepentingan Orang Melayu Terus Terpelihara Di Bawah Dukungan UMNO
KUALA LUMPUR, 16 Jun – Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Mahadi Abdul Shukor berpandangan UMNO perlu lebih dalam menjaga hak keistimewaan orang Melayu.
Menurut beliau, ia penting bagi memastikan kepentingan orang Melayu terus terpelihara demi masa hadapan generasi seterusnya.
“UMNO Cheras ingin suarakan satu perkara penting kepada Presiden dan Timbalan Presiden. UMNO perlu berani bersuara untuk kepentingan Melayu.
“Tolong jaga sensiviti orang Melayu. Perdana Menteri dan Kerajaan Madani harus peka dan faham tentang sensiviti orang Melayu .
“Jangan biarkan maruah Melayu dicabar, maruah Melayu mesti dipelihara. Jangan dipijak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Cheras Empat Peringkat di Dewan Pusat Rekreasi Cheras semalam.
Turut hadir Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah serta kepimpinan lain.
Katanya ia bukan semata membabitkan perkauman sebaliknya demi menjaga agenda pemerkasaan orang Melayu.
“Ini bukan soal perkauman tapi ini hak orang orang Melayu. Ini soal sejarah tanah air kita.
“Agenda Melayu mesti diperkasa, ekonomi bumiputera mesti dimartabat, agama Islam jangan diperlekeh,” ujar beliau. – UMNO Online