BN Sabah Bukan Sekadar Slogan, Tetapi Rekod Pencapaian – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 16 Jun – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) Sabah tidak hadir ke medan politik semata-mata dengan slogan kosong, sebaliknya membawa rekod pencapaian dan pengalaman memimpin negeri ke arah pembangunan yang terbukti sebelum ini.

“BN Sabah hadir bukan dengan slogan, tetapi dengan rekod. Kita pernah memimpin negeri ini ke arah pembangunan. Kita juga pernah diuji. Kini, kita kembali dengan tekad untuk memperbaiki, bukan sekadar mengulangi,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Datuk Armizan Mohd Ali yang menyatakan kesediaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk berdepan dengan BN dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Menurut Bung Moktar, UMNO dan BN Sabah sentiasa konsisten dengan prinsip perjuangan mereka, dan tidak menunggu lampu hijau daripada mana-mana pihak untuk menyatakan pendirian atau mengatur langkah.

“Kami bukan parti yang hanya muncul ketika pilihan raya dengan janji manis dan retorik politik. Kami ada pengalaman, rekod dan keazaman baharu untuk membina semula Sabah dengan lebih baik,” tegas beliau.

Tambahnya, pengalaman masa lalu dijadikan iktibar untuk kembali dengan semangat memperbetul kelemahan, bukan mengulangi kesilapan.

“Dalam politik, legitimasi tidak datang daripada slogan atau angka kerusi semata-mata, tetapi daripada keyakinan rakyat terhadap kejujuran perjuangan. Itulah yang BN Sabah bawa hari ini iaitu tekad yang jujur untuk memperbaiki dan membina semula kepercayaan rakyat,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat Sabah agar menilai berdasarkan rekod dan kemampuan sebenar, bukan janji-janji yang belum terbukti. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79