Usaha Raih Sokongan Generasi Muda Tanggungjawab Semua

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata usaha mendapatkan sokongan generasi muda mesti menjadi agenda utama UMNO.

Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri itu, tanggungjawab tersebut tidak boleh diletakkan seratus peratus di atas bahu Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO sahaja.

“Mengambil kira generasi muda menjadi kumpulan penting yang akan menentukan kemenangan sesebuah parti dalam pilihanraya, maka mendekati dan mendapatkan sokongan daripada mereka mesti menjadi keutamaan serta agenda besar parti.

“Keadaan ini memberikan cabaran besar kepada UMNO apatah lagi golongan muda kini bukan lagi sebagaimana dahulu. Mereka semakin terbuka dan kritikal.

“Maklumat yang mereka miliki barangkali lebih daripada yang kita miliki. Pandangan serta sikap mereka dibina dan dibentuk melalui sosial media. Padang permainan mereka berbeza berbanding dulu,” kata Ahli Parlimen Lenggong itu dalam satu perkongsian di Facebook.

Malah katanya, generasi muda majoritinya tidak lahir di ketika dan di zaman UMNO begitu hebat.

“Kerana itu sejarah UMNO bukan lagi suatu yang kuat untuk mempengaruhi mereka. Lantaran itulah, perubahan pendekatan mesti segera dilakukan. Kaedah yang pelbagai mesti dilaksanakan parti kerana generasi ini berada dalam pelbagai kelompok serta kumpulan. Minat mereka pun tidak sama.

“Betul UMNO menang di Nenggiri, Mahkota dan di Air Kuning. Data di sini menampakkan generasi muda menyokong UMNO Barisan Nasional (BN).

“Namun sejarah juga membuktikan di mana sokongan anak muda begitu tinggi di ketika Pilihan Raya Umum (PRU) Negeri Melaka dan Johor. Dan sebaliknya berlaku di negeri yang sama ketika PRU ke-15,” ujarnya.

Kerana itulah tambah Dr Shamsul Anuar lagi, ia jelas memperlihatkan sikap generasi muda boleh dengan cepat berubah.

“Kita mesti sedar rakyat dan generasi muda hari ini tidak gemar kepada sekadar politik populis. Mereka iginkan sebuah parti dan pemimpin yang mampu menyelesaikan masalah mereka. Parti yang mampu dan dilihat berkeupayaaan menyediakan masa depan terbaik untuk mereka.

“Justeru itu, UMNO mesti menyedari dan melakukan sesuatu sesuai dengan perubahan yang berlaku ini. Kaedah, pendekatan dan cara kita bekerja juga mesti sesuai dengan perubahan yang berlaku.

“UMNO mesti jadikan usaha mendapatkan sokongan generasi muda ini ssbagai agenda besar UMNO yang mesti dilakukan bersama,” katanya.

Dalam platform media sosialnya itu, Dr Shamsul Anuar berkongsi momen beliau merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Permatang Pauh, pagi tadi di Pulau Pinang. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79