UMNO Perlu Kekal Relevan Depani Dinamika Politik – Dr Shafei
KUALA LUMPUR, 15 Jun – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah menyifatkan UMNO perlu kekal relevan dalam mendepani dinamika politik baharu.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju berkata ia penting bagi membawa agenda perjuangan rakyat.
“Sekarang bersama Kerajaan Perpaduan kita mesti terus pastikan agar UMNO itu terus relevan.
“Mesti bercita-cita supaya suatu hari nanti, walaupun dalam Kerajaan Perpaduan yang menjadi dominan ini haruslah UMNO,” katanya.
Dr Shafei berkata demikian pada Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Cheras Empat Peringkat di Dewan Pusat Rekreasi Cheras hari ini.
Turut hadir Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Mahadi Abdul Shukor; serta kepimpinan lain.
Beliau juga percaya dinamika ini akan berterusan berdasarkan suasana politik negara.
Katanya bagi mendepaninya UMNO perlu memainkan peranan tersendiri bagi memastikan parti keramat ini terus menjadi pilihan rakyat.
“Sekarang ini macam-macam dinamika sedang berlaku. Dan saya percaya akan berlaku lebih banyak dinamika lagi menjelang pilihan raya. Jadi kita harus sentiasa berhati-hati terus menyumbang dan bukan hanya menjadi penumpang
“Penyumbang itu penting dan kita tak boleh hanya menjadi penumpang yang hanya duduk diam,” ujar beliau. – UMNO Online