UMNO Perlu Berubah, Kuasai Teknologi Maklumat Untuk Kekal Relevan – Azalina

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan UMNO perlu menerima hakikat bahawa landskap politik hari ini menuntut perubahan, khususnya dalam cara berkomunikasi dengan rakyat melalui aplikasi teknologi maklumat dan media sosial.

Menurut beliau yang juga Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, UMNO telah lama menjadi medan melahirkan pemimpin yang berwibawa dan memperjuangkan nasib agama, bangsa Melayu dan Islam.

“Hebatnya UMNO sebab sebagai satu parti yang mengeluarkan ramai pemimpin sama ada yang kekal dalam UMNO ataupun tidak tetapi setiap percakapan mereka tidak lari daripada ungkapan nak menaikkan taraf bangsa Melayu dan agama Islam.

“Alhamdulillah UMNO adalah satu parti yang boleh meniupkan roh tentang isu Melayu dan Islam sama ada kepada pemimpin hari ini dan juga yang akan datang.

“Kita bermula dengan cita-cita. UMNO telah melahirkan ramai pemimpin hebat, tetapi hari ini kita perlu akui untuk kekal relevan, kita mesti berubah. Cara kita berkomunikasi dengan rakyat perlu mengikut perubahan zaman,” tegas beliau.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata demikian di hadapan 54 orang pelajar Sekolah Patriotik UMNO sesi kedua yang sedang mengikuti pengajian di sini, hari ini.

Ujar Azalina, cabaran utama dalam parti kini ialah bagaimana untuk menyesuaikan diri dalam dunia politik moden yang semakin dipengaruhi oleh arus teknologi dan media sosial.

Beliau mengingatkan bahawa kejatuhan UMNO sebelum ini banyak berpunca daripada permainan dan persepsi di media sosial.

Justeru, beliau menegaskan perlunya ahli UMNO selaku jentera bagi memperkukuh penguasaan terhadap teknologi maklumat dan memahami evolusi media sosial sebagai strategi utama parti.

“Kemenangan dalam pilihan raya di seluruh dunia hari ini banyak ditentukan oleh kekuatan dalam perang media sosial. Kerana itu, kita perlu mahir menggunakannya untuk menyampaikan mesej perjuangan kita,” tambahnya.

Beliau turut berharap agar barisan pemimpin pelapis dalam UMNO, khususnya generasi muda, akan tampil sebagai penerus perjuangan perjuangan parti yang bermula daripada kesedaran, keberanian dan kecekapan menggunakan medium komunikasi masa kini.

“Saya berhadapan dengan ahli UMNO yang begitu ramai, yang terbahagi antara mereka yang memahami perubahan masa kini dengan mereka yang sebaliknya. Namun, kita sebagai ahli parti mesti menerima hakikat bahawa UMNO adalah parti tradisi.

“Parti-parti selepas UMNO yang ada pada hari ini lebih bersifat oportunis iaitu dapat naik dengan nama UMNO dan kemudian buat parti politik sendiri demi mendapatkan kuasa. Namun hari ini kita melihat bahawa UMNO tetap relevan kerana parti ini lebih relevan daripada parti-parti politik yang lain sebab UMNO parti politik yang bersejarah daripada tahun 1946.

“UMNO jatuh di mata rakyat adalah kerana media sosial yang memanipulasi fakta malah dalam dunia ini banyak negara menggunakan teknologi. Banyak kerajaan jatuh atau bertukar kerana penggunaan teknologi maklumat. Maka inilah cabaran terbesar kita dalam UMNO dan mesti kuasai bagi memenangi pilihan raya akan datang,” katanya lagi.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Sekolah Patriotik UMNO merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79