UMNO Milik Semua, Kekuatan Parti Terletak Pada Akar Umbi – Mohd Rafi

PONTIAN, 15 Jun – “UMNO ini milik ahli, bukan milik pemimpin semata-mata.” Itulah antara penegasan penting yang disuarakan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Pontian Sabtu malam.

Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa kekuatan sebenar UMNO datang daripada akar umbi selaku para ahli dan penyokong setia yang terus menjunjung perjuangan meskipun berdepan pelbagai cabaran sejak penubuhannya 79 tahun lalu.

“Jangan kita gusar jika ada pemimpin yang memilih untuk meninggalkan perjuangan. Sejarah membuktikan, ramai yang telah pergi, namun UMNO tetap berdiri teguh dan terus bernafas hingga ke hari ini,” ujar.

Mohd Rafi yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan turut menzahirkan penghargaan kepada Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalannya Datuk Sumali Reduan dan Pemangku Ketua Pemuda Bahagian, Azhar atas sambutan hangat serta komitmen tinggi barisan pemuda.

Sebagai bekas pemimpin Pemuda UMNO dari tahun 2008 hingga 2018, beliau meluahkan rasa bangga melihat kehadiran anak-anak muda yang penuh semangat dan keyakinan terhadap masa depan UMNO, khususnya di Johor iaitu negeri kelahiran parti keramat ini.

Tambah beliau, selain kekuatan akar umbi, UMNO perlu mengelak daripada perpecahan dalaman dan terus memperjuangkan nilai-nilai murni seperti integriti, ketelusan dan kejujuran dalam politik untuk kekal relevan di hati rakyat, khususnya generasi muda.

“Kemenangan tidak dijanjikan kepada parti yang besar, tetapi kepada parti yang bersatu, bernilai dan diyakini rakyat,” katanya.

Terdahulu pada sebelah paginya Mohd Rafi merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Bayan Baru dengan menekankan nada yang sama iaitu kekuatan UMNO bukan hanya terletak di bahu para pemimpin, tetapi bertunjangkan semangat dan kesetiaan ahli-ahli akar umbi.

“Jika kita ingin membina semula kekuatan UMNO, kuncinya ialah kesatuan. Kita mesti bersatu dalam apa jua keadaan, dan tidak lagi membiarkan perpecahan melemahkan perjuangan kita,” tegasnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79