Semangat BN: UMNO Tidak Tinggal MCA, MIC Ketika Susah Dan Senang

PORT DICKSON, 15 Jun – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa parti itu tidak akan pernah meninggalkan rakan-rakan komponennya iaitu MCA dan MIC ketika susah mahupun senang.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, MCA dan MIC menjadi pemangkin kepada BN ketika UMNO pernah berpecah kepada dua kumpulan pada tahun 1987.

“Sewaktu UMNO berpecah dua pada tahun 1987… ketika itu ada kumpulan A dan B. Rakan-rakan kita dalam BN terutamanya MCA dan MIC jadi pemangkin kepada kewujudan BN. Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan 15 lalu mereka mengalami permasalahan kerana tidak dapat mengekalkan kerusi yang ada.

“Jadi, pada kita UMNO mesti menjaga rakan-rakan jika mereka ada masalah. Ini adalah semangat BN yang perlu kita perkukuhkan dan saya yakin rakan-rakan kita akan terus bersama-sama gagasan BN ini. Tadi, saya sebutkan bahawa pada PRU ke-16 kita akan gunakan ‘dacing’ sebagai lambang BN.

“Parti-parti dalam BN akan terus diberikan tempat untuk bertanding. Walaupun pilihan raya itu masih lama lagi, itulah ketetapan yang kita buat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Port Dickson, di sini, petang tadi.

Dalam pada itu, beliau menyeru rakan-rakan 18 parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan untuk memperkukuhkan penyatuan agar terus kekal sehingga PRU ke-16.

“Sebab mereka (Pas) pernah menebuk atap dahulu dan mereka akan melakukan perkara tersebut buat sekian kalinya. Insya-Allah kerajaan yang ada sekarang ini tidak akan jatuh hanya dengan demonstrasi tersebut.

“Sikap pembangkang dari dulu memang begitu. Jadi, kita jangan risau dengan sikap mereka itu dan saya yakin untuk mencacat-celakan itu mudah tetapi untuk buat kerja susah.

“Saya menyeru diri saya dan rakan-rakan 18 parti komponen dalam Kerajaan Madani ini, perkukuhkan penyatuan di kalangan kita. Insya-Allah kerajaan akan kekal sehingga PRU ke-16,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79