Pusat Hemodialisis Felda (PHF) Kerteh Tingkat Kesejahteraan Rakyat – Dr Masliha
KERTEH, 15 Jun – Pelancaran Pusat Hemodialisis Felda (PHF) Kerteh merupakan satu langkah signifikan dalam usaha meningkatkan kesejahteraan dan kesihatan rakyat, khususnya warga peneroka yang menghidap penyakit buah pinggang kronik.
Pengerusi Sekretariat Wanita Profesional (SWP) yang juga Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Felda dan Pengerusi Pusat Hemodialisis Felda, Dr Masliha Harun, berkata penubuhan pusat tersebut bakal mengurangkan kebergantungan pesakit terhadap hospital kerajaan.
“Kewujudan Pusat Hemodialisis Felda (PHF) ini dapat mengurangkan kebergantungan pesakit buah pinggang kronik dalam kalangan Felda terhadap hospital kerajaan.
“Pelancaran PHF Kerteh adalah untuk kesejahteraan dan kesihatan rakyat dan berlakunya proses semakan akhir di bersama-sama Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
“Ini adalah satu inisiatif prihatin yang memberi tumpuan terhadap aspek kesihatan rakyat, selari dengan komitmen Felda untuk memperkasakan komuniti peneroka, bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi juga kebajikan dan kesihatan,” katanya kepada UMNO Online.
Dr Masliha yang juga Exco Wanita UMNO Malaysia menjelaskan setakat ini, lapan daripada 13 pusat hemodialisis yang dirancang telah siap dibina dan sudah mula memberi perkhidmatan kepada pesakit.
“Setakat ini, lapan daripada 13 PHF berjaya disiapkan dan boleh memberikan perkhidmatan kepada pesakit buah pinggang kronik. Pusat Hemodialisis Felda ini adalah cetusan idea daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Penubuhan PHF ini diharap menjadi model kepada usaha kerajaan dalam memperluas akses kepada rawatan kesihatan khusus, terutama kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah di kawasan luar bandar,” katanya lagi.
Tambah Dr Masliha, pusat ini turut dilengkapi dengan kemudahan rawatan dialisis moden, dan dikendalikan oleh pasukan profesional kesihatan bertauliah.
“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada agenda kesejahteraan Felda yang menyeluruh, seiring dengan aspirasi untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar secara holistik,” ujarnya. – UMNO Online