Mesyuarat UMNO Bahagian Wadah Mendasari Strategi, Perkukuh Penyatuan
JELEBU, 15 Jun – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata platform Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian adalah wadah penting bagi mendasari strategi politik, memperkukuh struktur penyatuan ahli dan menilai keberkesanan pendekatan parti dalam menghadapi realiti semasa.
Ujar Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan itu, dalam suasana politik negara dan negeri yang makin mencabar, mesyuarat UMNO peringkat bahagian harus menjadi pemacu kepada agenda penyatuan, pembaharuan serta pemantapan parti di peringkat akar umbi, sekali gus membawa kepada kekuatan di peringkat kepimpinan negeri.
“Penting bagi setiap bahagian untuk mengangkat agenda politik yang matang, inklusif dan berdaya tahan. Kepimpinan bahagian harus mengutamakan agenda strategik yang berpaksikan nilai perjuangan sebenar, dengan penekanan kepada keterlibatan generasi muda, peranan wanita, menyantuni veteran parti dan pengiktirafan kepada tenaga profesional dalam kalangan ahli.
“Selain aspek penyatuan dalaman, mesyuarat UMNO peringkat bahagian juga perlu dijadikan medan muhasabah menyeluruh terhadap prestasi parti pasca pilihan raya yang lalu dan prestasi kepimpinan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan sejak tahun 2023.
“Ia bagi memastikan kita terus memperbaiki lompong yang ada untuk mencipta prestasi yang lebih hebat di masa hadapan,” ujar Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu itu dalam satu kenyataan.
Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian-bahagian bagi seluruh negara telah bermula pada 9 Jun lalu dan dijadualkan berakhir 22 Julai ini.
Bagi Negeri Sembilan, UMNO Bahagian Port Dickson membuka tirai siri mesyuarat peringkat bahagian di negeri ini dengan dirasmikan oleh Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada hari ini.
Selanjutnya ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang itu lagi, agenda memperkasa jentera akar umbi untuk persediaan menghadapi pilihan raya umum atau negeri ke 16 akan datang juga harus diberi keutamaan.
“Keseluruhannya, mesyuarat UMNO bahagian-bahagian di Negeri Sembilan ini adalah medan kebangkitan semangat jentera dan ahli parti secara lebih menyeluruh dan tersusun.
“UMNO Negeri Sembilan mampu kembali memainkan peranan sebagai institusi politik yang dipercayai, dihormati dan berpaksikan kepada perjuangan rakyat secara total tidak lama lagi.
“Inilah saat terbaik untuk parti melakukan anjakan paradigma demi memastikan kelangsungan perjuangan yang berteraskan kepentingan agama, bangsa dan negara,” ujarnya. – UMNO ONLINE