Jadikan Persidangan UMNO Perkukuh Semangat Dan Tekad Perjuangan – Norshida
SEGAMAT, 15 Jun – Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat, Datuk Norshida Ibrahim menegaskan bahawa persidangan UMNO bukan sekadar majlis biasa, tetapi satu wadah untuk memperkukuh semangat, menyatukan tekad dan mempererat ukhuwah dalam kalangan srikandi dan puteri UMNO.
Ujarnya, perjumpaan dalam persidangan adalah medan penuh bermakna dalam menyemarakkan lagi semangat perjuangan khususnya Wanita lantaran sentiasa menjadi tunjang kekuatan UMNO.
“Semoga perjumpaan kita ini menjadi medan memperkukuh semangat, menyatukan tekad, dan menyemarakkan lagi perjuangan kita bersama,” ujar.
Beliau turut menyifatkan wanita UMNO sebagai pembawa harapan, penjaga warisan dan penggerak perubahan dalam usaha memperjuangkan martabat bangsa, agama dan tanah air tercinta.
Tambahnya lagi, kesatuan antara Wanita UMNO dan Puteri UMNO merupakan kekuatan luar biasa yang harus terus disuburkan meskipun berbeza usia dan pengalaman. Apa yang lebih utama, katanya, ialah kesatuan matlamat demi kelangsungan perjuangan parti.
Norshida turut merakamkan penghargaan kepada semua wanita yang telah mencurahkan keringat serta komitmen tanpa jemu.
“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh wanita yang telah mencurahkan keringat dan komitmen tanpa jemu. Kecekalan kalian bukan sahaja mencorak masa depan parti, bahkan menjadi inspirasi kepada generasi pelapis yang akan datang.
“Tidak mudah menjadi wanita dalam perjuangan. Namun kalian telah buktikan, dengan kekuatan hati dan semangat yang tulus, segalanya mampu ditempuh.
“Perjumpaan ini menjadi bukti bahawa wanita UMNO terus unggul, kekal perkasa dan bersedia mendepani cabaran semasa dengan semangat juang yang tidak pernah luntur,” katanya lagi. – UMNO Online