Bersidang Dengan Semangat Kebersamaan, Junjung Disiplin Parti
KUALA LUMPUR, 15 Jun – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu Datuk Rozi Mamat mengucapkan selamat bersidang kepada seluruh perwakilan Mesyuarat UMNO Bahagian di seluruh negara.
Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu itu mengajak semua perwakilan agar bersidang dengan semangat kebersamaan, menjunjung disiplin parti, dan meletakkan kepentingan umat mengatasi segala perbezaan.
“Sidang perwakilan ini bukan sekadar memenuhi tuntutan organisasi, tetapi menjadi medan memperkukuh saf perjuangan, menyusun semula strategi, dan memperteguh tekad dalam meneruskan agenda besar UMNO untuk rakyat dan negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Ulasnya juga, UMNO pernah menjadi tunjang kekuatan negara dan dengan keyakinan serta kesatuan, semua ahli mampu mengembalikan semula kegemilangan itu.
Sebagai rekod, bagi tahun 2025 ini, Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah menetapkan kepada kesemua 191 UMNO Bahagian seluruh negara supaya melaksanakan mesyuarat perwakilan masing-masing dalam tempoh 9 Jun hingga 22 Julai ini.
Terdahulu pada 7 April hingga 25 Mei lepas, telah berlangsung Persidangan Tahunan UMNO Cawangan yang melibatkan lebih 20 ribu cawangan.
Manakala Perhimpunan Agung UMNO dijadualkan akan berlangsung pada 20 Ogos hingga 23 Ogos. – UMNO ONLINE