UMNO Tonggak Penyatuan Melayu – Ahmad Zahid

BAGAN DATUK, 14 Jun – Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa UMNO telah lama menyatukan orang-orang Melayu sejak awal penubuhannya pada 11 Mei 1946.

Menurut beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, UMNO telah berjaya menghimpunkan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) Melayu demi kepentingan dan masa depan umat Melayu secara keseluruhan.

“Harus diketahui bahawa penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946 ia berjaya mengumpulkan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu ketika itu demi kepentingan umat Melayu.

“Prinsip penyatuan keseluruhan ketika itu masih dipegang oleh UMNO. Itulah yang tercatat dalam perlembagaan malah memperjuangkan kedaulatan Raja-raja Melayu termaktub dalam Perlembagaan UMNO.

“Begitu juga dalam mempertingkatkan syiar Islam dan itu pun terdapat dalam Perlembagaan UMNO. Menjunjung kedudukan istimewa orang Melayu juga terdapat dalam perlembagaan… jadi dengan tidak berhasrat untuk tidak mengetepikan mana-mana pihak bagi menubuhkan sekretariat atau apa-apa nama ‘marilah kita bergabung’ terutamanya dari segi fikrah, jiwa nurani dan bukan ada tujuan sebaliknya,” katanya kepada pemberita hari ini.

Mengulas lanjut, Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk itu berharap pihak tersebut maju jaya.

“Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Pengerusi Sekretariat Melayu dan berdoa mudah-mudahan beliau berjaya menyatukan parti-parti Melayu dan badan bukan kerajaan Melayu,” katanya lagi.

Pada masa yang sama Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata sebelum ini individu tersebut sibuk memecah-belahkan orang Melayu.

“Partinya tidak ada seorang pun menang pada pilihan raya lalu apatah lagi hilang deposit semuanya dan baru mencari jalan untuk penyatuan Melayu dan sebelum itu orang itulah yang memecah-belahkan Melayu,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79