UMNO/BN Mesti Kembali Dominan – Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) mesti kembali dominan dalam politik negara ini.

Ujar Ahli Parlimen Lenggong itu dalam satu perkongsian di Facebook, UMNO/BN mesti menjadi parti utama dan penting kepada orang Melayu, Bumiputera dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

“Bagi membolehkan UMNO dilihat, dirasai, diharapkan serta penting kepada semua. Maka UMNO mesti menjadi pejuang dan membela kepentingan orang Melayu, Bumiputera dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

“Namun demikian UMNO mesti memperlihatkan imej yang baik di mata rakyat, UMNO mesti pastikan orang Melayu dan Bumiputera kekal menyokongnya dan yang penting UMNO mesti pastikan generasi muda bersama dengan UMNO,” katanya lagi.

Semua itu tegasnya, amat penting untuk UMNO kembali menjadi parti dominan dalam negara ini.

Shamsul Anuar berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan
Wanita dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Sri Gading di Sri Gading, Johor pagi tadi.

Bagi tahun ini, Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah menetapkan kepada kesemua 191 UMNO Bahagian seluruh negara supaya melaksanakan mesyuarat perwakilan masing-masing dalam tempoh bermula 9 Jun lalu hingga 22 Julai ini.

Terdahulu pada 7 April hingga 25 Mei lepas, telah berlangsung Persidangan Tahunan UMNO Cawangan yang melibatkan lebih 20 ribu cawangan.

Manakala Perhimpunan Agung UMNO dijadualkan akan berlangsung pada 20 Ogos hingga 23 Ogos. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79