Simbahan Fitnah, Tohmahan Kepada Parti Perlu Pantas Dikekang

BAGAN DATUK, 14 Jun – Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa parti itu perlu melakukan penilaian semula kaedah dalam mendepani landskap politik semasa yang kian mencabar dan berubah dengan pantas.

Menurut beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), UMNO kini berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk tohmahan, fitnah serta penghinaan yang berterusan, yang telah memberi kesan besar terhadap prestasi dan kepercayaan rakyat terhadap parti tersebut.

“Kita perlu kembali menilai keadaan kita hari ini. UMNO telah disimbah dengan pelbagai tohmahan, fitnah, dan penghinaan. Serangan ini bukan sedikit, dan ia menjadi antara faktor kejatuhan kita.

“Politik hari ini telah berubah. Ia tidak lagi berasaskan ceramah atau politik perkhidmatan semata-mata. Rakyat kini lebih terpengaruh dengan media baharu seperti TikTok, podcast, dan naratif di media sosial.

“Fitnah yang tersusun kini lebih dipercayai berbanding fakta yang sebenar. Inilah wajah politik baharu yang kita hadapi,” katanya ketika merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk, Datuk Khairuddin Tarmizi, Naib Ketua Bahagian UMNO Bagan Datuk, Datuk Shahrul Zaman Yahya serta kepimpinan Bahagian dan cawangan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata bahawa parti UMNO kini sedang bangkit semula dengan kekuatan baharu dan bersedia untuk kembali menjadi kuasa dominan dalam landskap politik.

“Dahulu kita dituduh berpecah dan bermasalah. Hari ini, kita bangkit semula dan kukuh, kuat, serta bersedia untuk kembali dominan.

“Kita tidak akan melupakan sejarah silam, tetapi kita sedia memaafkan mereka yang tersasar dari perjuangan. Namun, yang lebih penting ialah membina kekuatan baharu.

“Kita tidak boleh bergantung kepada ahli UMNO semata-mata. Kita mesti santuni rakyat, ubah cara fikir kita, dan menangi hati mereka. Insya-Allah, akan ada cahaya di hujung terowong. Bersama kita teruskan perjuangan ini, bukan dengan dendam, tetapi dengan kesetiaan, kesungguhan dan kekuatan baharu,” katanya lagi.

Pada masa sama Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menjelaskan pengalaman lalu membuktikan sikap terlalu bertolak ansur telah menyebabkan pengkhianatan terhadap perjuangan parti walaupun pelbagai usaha telah dilakukan.

“UMNO tidak boleh terlalu berlembut. Apabila kita terlalu baik, pihak lawan ambil kesempatan. Mereka pecahkan permuafakatan dan menikam kita dari belakang. Apa lagi yang UMNO Bagan Datuk tidak buat? Namun akhirnya, ada dalam kalangan mereka yang kita bantu, yang khianat perjuangan ini.

“Kita tidak lupa ada pemimpin yang tubuh parti baharu untuk jatuhkan UMNO, akhirnya diangkat jadi Perdana Menteri. Tetapi kemudian ditendang oleh partinya sendiri. Kini muncul kononnya sebagai penyelamat Melayu melalui satu sekretariat baharu.

“Semasa berkuasa, merekalah yang menyeret pemimpin UMNO ke mahkamah bukan kerana keadilan, tetapi kerana dendam. UMNO dihina, diludah… inilah manusia yang lupa daratan dan lupa jasa,” tegasnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79