Persidangan Medan Susun Kekuatan, Satukan Hati

LABIS, 14 Jun – Exco Wanita UMNO Malaysia Haslinda Salleh berkata mesyuarat perwakilan bahagian bukan sekadar rutin tahunan, tetapi medan untuk menyusun kekuatan, membakar semangat dan menyatukan hati.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang itu menyeru baik Wanita mahupun Pergerakan Pemuda dan Puteri agar terus mara dengan semangat kerana tenaga dan kesetiaan yang ada adalah nadi utama perjuangan parti.

“UMNO bukan sekadar sebuah parti politik, UMNO adalah lambang perjuangan yang telah membina negara, membela rakyat dan menjadi tiang seri kepada kestabilan tanah air.

“Walau diuji berzaman, semangat dan roh perjuangan UMNO tetap tidak pernah luntur,” katanya dalam satu kenyataan ucapan selamat bersidang kepada semua perwakilan UMNO Bahagian, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO di seluruh negara.

Haslinda yang juga Ketua Penerangan Wanita UMNO Johor dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Labis, berkata beliau telah menyaksikan betapa hebatnya kekuatan jentera parti, khususnya barisan Wanita, yang tidak pernah kenal erti lelah dan penat.

“Mereka bekerja dalam diam, menyusur bergerak ke akar umbi, menjadi tulang belakang yang setia sejak dulu, kini dan Insya-Allah selamanya.

“Kepada seluruh ahli UMNO; Ayuh kita rapatkan saf. Kukuhkan perpaduan. Perkuatkan sokongan. Perkukuhkan kerjasama. Teruskan kerja kuat yang menjadi budaya perjuangan kita.

“Kini bukan masa untuk menoleh ke belakang, ini masa untuk membina semula keyakinan rakyat dan mengangkat kembali martabat UMNO sebagai parti yang terus memperjuangkan nasib rakyat,” katanya.

Tambahnya lagi, beliau berharap agar rakyat melihat UMNO sebagai harapan.

“Kita mahu rakyat tahu UMNO sentiasa ke depan dalam membantu, membela dan mendengar suara mereka.

“Bangkit dengan semangat, satukan kekuatan. Jangan leka, jangan longgar. UMNO bukan hanya sejarah, UMNO ialah masa depan,” katanya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79