Suara Akar Umbi Diperkasa, Cungkil Bakat Baharu Dalam Persidangan UMNO

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Persidangan Perwakilan UMNO terus menjadi platform penting bagi para perwakilan dari seluruh negara untuk menyuarakan pandangan akar umbi serta memperkukuhkan hala tuju dan perjuangan parti, kata Ketua Wanita UMNO Negeri Melaka, Datuk Kalsom Noordin.

Beliau juga Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti menjelaskan betapa pentingnya persidangan ini dalam membina masa depan parti yang lebih progresif.

Katanya, ia memperlihatkan kesungguhan UMNO dalam memperkasakan suara ahli di peringkat akar umbi serta memperkukuhkan struktur perpaduan dalaman parti.

“Persidangan ini bukan sahaja membincangkan isu-isu semasa yang membabitkan rakyat dan negara, malah turut memperlihatkan kesungguhan UMNO dalam memperkukuhkan perpaduan dalaman serta memperkasakan suara ahli di peringkat akar umbi.

“Persidangan ini juga menjadi medan mencungkil bakat kepimpinan baharu, sekali gus memperkukuhkan barisan pelapis dalam menghadapi cabaran politik masa hadapan,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu itu memuji usaha dan komitmen UMNO dalam mendengar suara rakyat serta memperkenalkan idea-idea baharu sepanjang persidangan parti.

“Saya mendapati dan perhatikan melalui perbahasan serta usul yang diketengahkan sepanjang persidangan, ianya mencerminkan komitmen parti dalam mendengar denyut nadi rakyat serta melahirkan idea-idea baharu demi memulihkan keyakinan rakyat terhadap perjuangan UMNO,” katanya lagi.

Beliau turut menekan bahawa pendekatan yang lebih inklusif dan terbuka dalam memastikan UMNO terus relevan sebagai sebuah parti yang memperjuangkan kebajikan rakyat.

Terdahulu persidangan UMNO peringkat Cawangan telah berlangsung pada 7 April hingga 25 Mei lalu dan kini Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian dijadualkan pada 9 Jun hingga 27 Julai 2025.

Menyusul seterusnya, Perhimpunan Agung UMNO yang akan diadakan dari 20 Ogos hingga 23 Ogos 2025. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79