“Radu Tatap Radu” Di Tanjung Keramat Esok, Komitmen Teruskan Perjuangan – Jeffery Nor

PUTATAN, 13 Jun – Program ‘Radu Tatap Radu’ diteruskan dengan kali ini memberi tumpuan ke kawasan DUN N.24 Tanjung Keramat.

Pengarah Jentera Pilihan Raya UMNO Sabah merangkap Ketua UMNO Bahagian Putatan Jeffery Nor Mohamed mengajak orang ramai untuk bersama-sama memeriahkan program tersebut yang bakal berlangsung esok bagi terus memperkukuh gerak kerja akar umbi dan kesiapsiagaan menghadapi pilihan raya kelak.

Ujarnya, program tersebut bakal disempurnakan oleh Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bertempat di Gelanggang Takraw Kampung Contoh dan Rumah Tok Bin Bentuni di Kampung Muhibbah.

“Program ini bukan sekadar manifestasi solidariti parti tetapi juga satu platform untuk mendekati rakyat dan mendengar aspirasi mereka secara langsung.

“Kita bawa mesej bahawa walau apa pun cabaran, ‘Radu Tatap Radu’. Semangat ini perlu dibawa oleh semua jentera UMNO di setiap pelosok kawasan. Kita tidak gentar, kita tidak mundur. Kita mara bersama rakyat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan UMNO Sabah tidak terletak kepada retorik semata-mata, tetapi pada komitmen berterusan untuk turun padang dan bekerja bagi rakyat.

“Program ini akan turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian seperti sesi ramah mesra, penyampaian sumbangan, serta aktiviti sukan dan riadah komuniti, menggambarkan keterangkuman agenda UMNO dalam membina hubungan erat dengan masyarakat akar umbi.”

Terdahulu, pada Rabu beliau telah membuat lawatan tapak bagi program tersebut di Kampung Muhibbah dan Kampung Contoh dan menggunakan kesempatan tersebut bagi menziarah warga yang uzur di Kampung Muhibbah Lama.

“Keutuhan parti terletak pada keikhlasan dalam berkhidmat serta kesanggupan untuk turun padang dan mendengar denyut nadi rakyat secara terus,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79