Payung Besar: Tun M Perguna Melayu Untuk Kepentingan Mereka
KUALA LUMPUR, 13 Jun – Penubuhan Jawatankuasa Sekretariat Orang Melayu dilihat lebih kepada untuk mempermainkan dan mempergunakan Melayu bagi kepentingan politik mereka sendiri, kata Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain.
Ujarnya, UMNO telah berfungsi sebagai khemah besar, melindungi orang-orang Melayu sejak ia ditubuhkan pada tahun 1946 dan mentadbir negara selama lebih 60 tahun.
“Payung besar… khemah besar… kita (UMNO) lagi besar sebenarnya. Kita bercakap pasal Melayu dah lama dah. Bahkan nama kita pun Melayu. Kita letak nama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu sebab kita mengambil pendekatan bahawa Melayu dan Islam tak boleh dipisahkan. Pentakrifan Melayu itu sendiri adalah Islam. Majoriti masyarakat ataupun rakyat negara kita adalah Melayu-Islam.
“Jadi, kalau nak bercakap tentang khemah besar orang Melayu, inilah dia… UMNO. Kalau kita lihat parti-parti lain juga lahir daripada UMNO, yang mereka ciptakan parti-parti kecil adalah untuk memecahbelahkan parti besar ini.
“Jadi kalaulah dikatakan merekalah yang nak membina satu khemah atau payung besar, saya nampak sangat janggal ‘statement’ itu. Pada saya, ia lebih kepada mempermainkan dan mempergunakan Melayu itu sendiri untuk kepentingan mereka. Terutama apabila mereka merasakan bahawa sokongan Melayu dah mula kurang,” katanya kepada UMNO Online
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bangi berkata, PPBM ditubuhkan oleh Tun Dr Mahathir dengan niat untuk menggantikan UMNO namun usaha tersebut tidak berjaya.
“Contohnya dahulu ditubuhkan PPBM itu untuk menggantikan UMNO. Mereka cuba hampir sepuluh tahun… menguar-uarkan hasrat tersebut. Tetapi akhirnya rakyat tak percaya dan mereka sendiri pun berpecah.
“Tun Dr Mahathir yang menubuhkan PPBM itu sendiri pun keluar daripada parti tersebut. Jadi, bagaimana lagi mereka nak meyakinkan rakyat? Bagaimana lagi Tun Mahathir khususnya nak meyakinkan rakyat bahawa dia boleh menyatukan Melayu lagi?
“Beliau berada dalam UMNO selama 22 tahun, dapat jadi Perdana Menteri… Tetapi dalam parti lain 22 bulan sahaja bertahan. Jadi, kita lihat bahawa apa yang dibawa oleh Tun Mahathir itu sebenarnya adalah bibit kepada perpecahan Melayu,” katanya lagi.
Pada 4 Jun media melaporkan Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan inisiatif baharu untuk menggabungkan orang Melayu di bawah satu payung besar yang dikenali sebagai Jawatankuasa Sekretariat Orang Melayu.
Menurut beliau, gerakan yang tidak bermotifkan politik itu bertujuan menjadi wadah bagi menyelesaikan masalah dan isu dihadapi orang Melayu yang disifatkan gagal ditangani kerajaan hari ini.
Jelas beliau, gerakan atau sekretariat itu juga bertujuan untuk mencari jalan supaya orang Melayu dapat menguasai semula kerajaan.
Ujarnya, apa yang berlaku ketika ini orang Melayu berpecah-belah dan dibezakan dengan fahaman politik sekali gus menyebabkan mereka gagal dalam banyak perkara. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman