Maju Johor Bukan Slogan Kosong, RM30.1 Bilion Bukti Nyata – Md Israk
KUALA LUMPUR, 13 Jun – Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor, Md Israk Abdullah menyifatkan pencapaian pelaburan tertinggi negara yang direkodkan oleh Johor sebagai membanggakan.
Menurut beliau ini kerana nilai dicapai bukan sekadar angka statistik semata-mata, tetapi mencerminkan keupayaan Johor dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi dan berteknologi maju.
“Penerangan UMNO Johor dengan rasa penuh hormat dan bangga mengucapkan tahniah atas jumlah pelaburan tertinggi negara yang direkodkan oleh negeri Johor bagi suku pertama tahun 2025, sebanyak RM30.1 bilion.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa Johor bukan sahaja kekal sebagai destinasi pelaburan pilihan di Malaysia, malah turut menegaskan kedudukannya sebagai pusat ekonomi yang berdaya saing dan maju.
“UMNO Johor menjunjung kasih dan menghargai segala sokongan serta nasihat daripada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, yang sentiasa memberikan dorongan berterusan dalam memastikan pembangunan ekonomi negeri Johor berada di landasan yang betul demi kesejahteraan rakyat Johor.
“Kepimpinan baginda memainkan peranan penting dalam memupuk iklim pelaburan yang kondusif serta memacu agenda pembangunan negeri yang makmur dan mampan,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.
Md Israk memaklumkan melalui langkah tersebut ia juga memperkukuh inisiatif Maju Johor yang menumpukan usaha ke arah pembangunan negeri maju, seimbang dari segi ekonomi, sosial dan alam sekitar melalui dasar mesra pelabur serta infrastruktur berkualiti.
Katanya lagi, Penerangan UMNO Johor turut berbesar hati mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam usaha menyokong dan memperkukuh pelaburan di Johor.
Menurut beliau kejayaan ini menjadi bukti bahawa kerjasama erat di semua peringkat sebagai kunci kepada pembangunan dan kemakmuran negeri Johor.
“Penerangan UMNO Johor akan terus menyokong YAB Menteri Besar Johor dan kerajaan negeri dalam usaha menjadikan Johor sebuah negeri maju yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“UMNO Johor yakin, dengan keberanian, komitmen, dan sokongan padu dari seluruh masyarakat serta pemegang taruh, Johor akan terus berkembang sebagai pusat pelaburan bertaraf antarabangsa, memacu pertumbuhan ekonomi negara dan menjamin masa depan yang lebih cerah untuk rakyat dan Bangsa Johor,” ujar beliau. – UMNO Online