Kerjasama Politik UMNO/BN Sabah Berpandukan Kepentingan Rakyat, Kestabilan Negeri – Suhaimi

KUALA LUMPUR, 13 Jun – UMNO/Barisan Nasional (BN) Sabah tidak menutup ruang untuk kerjasama dengan mana-mana parti, kata Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir.

Namun katanya sebarang keputusan untuk membentuk gabungan politik mestilah berpandukan kepada kepentingan rakyat, kestabilan negeri dan pelajaran daripada sejarah politik yang lalu, khususnya episod Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16).

“UMNO Sabah ingin menjelaskan bahawa pendirian BN Sabah bukanlah satu bentuk penolakan total terhadap kerjasama politik, tetapi satu langkah berhati-hati yang berpaksikan pengalaman masa lalu.

“Ketika itu (PRN16) terdapat kerjasama yang akhirnya membawa implikasi politik yang merugikan BN, termasuk aspek integriti, kepercayaan serta kejelasan hala tuju bersama.

“Ia bukan sekadar soal perbezaan ideologi, tetapi juga melibatkan isu kejujuran politik dan konsistensi dalam kepemimpinan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Respon beliau itu merujuk kepada kenyataan Datuk Seri Masidi Manjun mengenai kesediaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memutuskan hala tuju mereka menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Suhaimi berkata pendekatan UMNO/BN Sabah pada kali ini adalah jelas kerana segala bentuk kerjasama perlu ditentukan secara rasional

Menurut beliau pihaknya tidak akan mengulangi kesilapan lampau dan tidak akan membenarkan UMNO Sabah sekali lagi diposisikan dalam situasi politik yang meminggirkan suara akar umbi.

“Sebarang bentuk kerjasama perlu ditentukan secara objektif, rasional dan strategik bukan terburu-buru, apatah lagi atas dasar keperluan segera politik sesetengah pihak.

“Menentukan masa depan Sabah bukan hanya soal berapa parti boleh duduk semeja, tetapi soal bagaimana gabungan yang dibentuk mampu menjamin kestabilan, integriti dan pembangunan jangka panjang untuk rakyat.

“Justeru, keputusan UMNO dan BN Sabah untuk lebih berhati-hati adalah bersifat konstruktif, bukan konfrontatif,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79