Diberi Peranan Proaktif Pada Pemuda, Benteng Prinsip Perjuangan UMNO – Mohd Imran

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin beranggapan bahawa sayap Pemuda perlu diberi peranan yang proaktif dalam memainkan fungsinya sebagai benteng kepada prinsip perjuangan parti.

Ujarnya, sayap Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor telah berjaya melaksanakan 1,136 mesyuarat ketika musim persidangan cawangan-cawangan yang lalu meliputi 13,000 ahli.

“Saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada seluruh kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor yang berjaya melaksanakan mesyuarat di 1,136 cawangan meliputi lebih 13,000 ahli ketika musim mesyuarat cawangan yang lalu.

“Ini menunjukkan bahawa Pemuda ini adalah sayap yang menjadi benteng pertahanan utama kepada parti untuk mara ke hadapan. Oleh itu, sudah pasti ada banyak liku-liku dan cabaran. Ianya mungkin tidak mudah tetapi tidak mustahil untuk kita harungi.

“Ini kerana sebahagian besar kepimpinan di atas lahir dari kilang Pemuda. Di sinilah kita dapat lihat bagaimana Pemuda ini harus bergerak ke hadapan. Kita perlu ada satu tekad bersama untuk kita bergerak seiring dan memastikan kelangsungan kepimpinan di peringkat akar umbi ini dapat kita jayakan bersama-sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri peringkat UMNO Negeri Selangor pada Selasa.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar turut berharap agar rakan-rakan Pemuda yang lain terus istiqamah dalam perjuangan dan melaksanakan tanggungjawab.

“Sudah tentu di peringkat Pemuda, kita ingin melihat sayap ini terus diberi peranan yang proaktif untuk memperkasakan institusi Pemuda sebagai benteng kepada agenda dan juga prinsip perjuangan UMNO bagi mempertahankan agama Islam, bangsa Melayu serta institusi raja-raja. Ini menjadi tekad perjuangan kita bersama-sama.

“Kita juga mengambil iktibar bahawa ini adalah generasi baharu yang memerlukan kita untuk melihat kepada gerak kerja dan juga beberapa perkara penting dalam landskap baharu yang lebih dinamik, pragmatik, rasional dan realistik. Ini akan kita laksanakan bersama-sama.

“Jadi, inilah perjuangan kita bersama dan saya harap rakan-rakan serta sahabat-sahabat Pemuda terus istiqamah dalam kita melaksanakan tanggungjawab,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79