Wanita UMNO Selangor Mohon Isu Kuota 30 Peratus Diambil Perhatian

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Wanita UMNO Negeri Selangor memohon agar isu perjuangan mengenai kuota 30 peratus calon wanita untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 diambil perhatian dan dilaksanakan oleh pucuk pimpinan parti.

Ketuanya, Datuk Halimaton Sa’adiah Bohan memaklumkan bahawa pelbagai program telah dilaksanakan Wanita UMNO Negeri Selangor sepanjang tahun 2023 sehingga 2025 untuk memperkukuhkan hubungan bersama masyarakat demi kekuatan parti.

“Saya ingin menyeru… marilah bersama-sama kita gunakan mesyuarat perwakilan ini untuk memberi pandangan dan idea bagi memperkukuhkan parti UMNO yang kita sayangi ini.

“Pertama, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada semua Ketua Wanita Bahagian yang telah melaksanakan Persidangan Wanita UMNO Cawangan-Cawangan di seluruh Negeri Selangor.

“Pelbagai program kita telah laksanakan dari tahun 2023 sehingga 2025. Pertama, kita telah laksanakan program ‘outreach’ atau turun padang untuk membina jaringan dan memperkukuh hubungan demi kekuatan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri peringkat UMNO Negeri Selangor pada Selasa.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Sungai Buloh berkata, gerak kerja Wanita UMNO Selangor pada ketika ini lebih memberi tumpuan kepada PRU ke-16 yang semakin hampir.

“Kedua, program memperkasa usahawan wanita untuk memperkukuh ekonomi golongan wanita juga telah diadakan. Ketiga, turut diadakan perjumpaan Pengurusan Wanita Selangor bersama semua biro politik Wanita Bahagian-Bahagian yang telah menjadi platform untuk memberi penerangan

“Ini semua dilakukan dengan amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul bersama-sama bagi membantu memperkukuh Wanita UMNO terutamanya di Negeri Selangor.

“Program ziarah kasih bukan sahaja dilaksanakan untuk menyantuni ahli-ahli UMNO tetapi juga masyarakat di luar sana. Sudah semestinya program-program ini tidak akan dapat dilaksanakan tanpa sokongan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor. Untuk tahun 2025, Wanita melangkah ke fasa gerak kerja PRU ke-16,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa Wanita UMNO akan sentiasa bersiapsiaga untuk menjalankan segala misi dan tetap setia menjadi tulang belakang parti.

“Kami yang berada di dalam dewan ini dan juga di luar sana, memohon agar perjuangan 30 peratus calon Wanita untuk PRU ke-16 diambil perhatian dan dilaksanakan.

“Pemuda harapan bangsa, mesti setia. Puteri tiang negara, perkasa usaha. Ayuh kita garab kekuatan bersama-sama. Wanita sentiasa bersiap-sedia menjalankan misi di mana sahaja kamj berada,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79