Kerajaan Usaha Ubah Pemikiran Pelajar TVET Ke Arah Teknousahawan – Ahmad Zahid
MELAKA, 12 Jun – Kerajaan akan mencari kaedah bagi mengubah minda pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ke arah menjadi teknousahawan pada masa hadapan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata TVET menawarkan peluang cerah dalam sektor keusahawanan, dan sokongan kerajaan amat diperlukan bagi merealisasikan hasrat tersebut.
“Terima kasih kepada ibu bapa yang semakin yakin dengan laluan pendidikan TVET ketika ini. Justeru, kita perlu mencari pendekatan baharu untuk mengubah pemikiran pelajar TVET agar mereka dapat menjadi teknousahawan.
“Setakat ini, institusi TVET di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah berjaya melahirkan 50 jutawan, antaranya usahawan paling berjaya yang mengeluarkan bateri kereta dan motosikal berjenama Bateriku.com,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.
Majlis yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Ahmad Zahid berkata ketika Malaysia sedang mengorak langkah menjadi negara maju, keterangkuman semua pihak untuk guna tenaga perlu diselaraskan, khususnya bagi membantu golongan yang sering terpinggir daripada sistem pendidikan negara.
“Majlis TVET Negara bertanggungjawab mengambil inisiatif untuk melibatkan anak-anak huffaz dalam program TVET agar masa depan mereka dapat dibina dengan lebih baik.
“Antara kejayaan yang boleh dibanggakan ialah Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang menerima pelajar huffaz ke Fakulti Aeroangkasa dan Fakulti Maritim, serta Universiti Tenaga Nasional (Uniten) yang mempunyai 550 pelajar huffaz yang menghafaz 30 juzuk al-Quran dan mengikuti kursus kejuruteraan.
“Alhamdulillah sambutan cukup baik (daripada huffaz) dan kita mengalu-alukan kerjasama daripada mudir dan guru tahfiz untuk bersama-sama membina negara dengan memastikan masa depan anak-anak huffaz tidak dikompromi. Mereka terus menghafaz al-Quran dan dalam masa sama, turut menjadi jurutera,” – BERNAMA