Johor Terus Maju Sebagai Pusat Pelaburan Bertaraf Antarabangsa, Pacu Ekonomi Negara

JOHOR BAHRU, 12 Jun 2025 — Johor terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat pelaburan bertaraf antarabangsa apabila mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi negara bagi suku pertama 2025, dengan nilai pelaburan diluluskan mencecah RM30.1 bilion.

Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyatakan bahawa kejayaan ini membuktikan keyakinan pelabur terhadap dasar mesra pelaburan, infrastruktur moden, serta kestabilan dan potensi ekonomi negeri.

“Syukur Alhamdulillah, pencapaian ini adalah satu petunjuk jelas bahawa Johor semakin menjadi pilihan utama pelabur dalam dan luar negara. Ini adalah hasil kerjasama padu semua pihak yang komited menjayakan agenda Maju Johor,” katanya.

Menurut beliau menerusi hantaran dalam laman Facebooknya, pelaburan tersebut turut membuka lebih 33,000 peluang pekerjaan baharu, meningkatkan pemindahan teknologi dan kepakaran, serta mengukuhkan daya saing ekonomi negeri. Johor kini berada di landasan kukuh untuk terus memacu pertumbuhan ekonomi negara secara mampan dan inklusif.

Onn Hafiz turut menjunjung kasih kepada Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, atas sokongan dan nasihat berterusan dalam memperkukuh hala tuju ekonomi negeri.

Ujarnya, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) juga dikenal pasti sebagai pemacu utama kejayaan ini, dengan kedudukannya yang strategik berdekatan Singapura dan pelbagai insentif pelaburan yang ditawarkan.

“Dengan insentif pelaburan yang kompetitif serta kedudukan strategik Johor berdekatan Singapura, zon ini menjadi pemangkin utama dalam merancakkan ekonomi dan memperkukuh hubungan perdagangan antarabangsa, sekaligus memberi manfaat kepada empat juta Bangsa Johor.

“Johor akan terus maju sebagai pusat pelaburan bertaraf antarabangsa. Kami komited memastikan setiap pelaburan diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat, kestabilan ekonomi dan masa depan yang lebih cerah, Insya-Allah,” ujar beliau.

Onn Hafiz turut merakamkan penghargaan kepada YB Lee Ting Han, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Ekonomi, MIDA, Invest Johor, IRDA dan semua agensi terlibat atas kerjasama dan usaha gigih menjayakan agenda pembangunan negeri Johor. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79