Isu Penjaja Tanpa Lesen Di Selangor: Suatu Analisis Perundangan Dan Cadangan Penyelesaian

Pendahuluan

Penjaja tanpa lesen merupakan satu isu yang berterusan di Selangor, terutamanya di kawasan bandar seperti Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang. Ia bukan hanya isu ekonomi atau sosial, tetapi juga melibatkan aspek perundangan, kuasa kerajaan tempatan, dan hak rakyat mencari rezeki.

Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berdepan dilema antara menguatkuasakan undang-undang secara tegas, dan mewujudkan dasar yang adil dan inklusif kepada peniaga mikro. Maka, penyelesaian memerlukan pendekatan yang seimbang dari segi dasar dan perundangan.

1. Kerangka Undang-Undang Berkaitan

a. Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171)
Seksyen 102 dan Seksyen 107 memberi kuasa kepada Majlis Bandaraya/Majlis Perbandaran untuk mengawal selia lesen perniagaan termasuk penjaja tepi jalan.
PBT boleh menggubal undang-undang kecil (by-laws) untuk menguruskan kawasan penjaja, syarat permohonan, larangan serta hukuman.

b. Undang-Undang Kecil Penjaja (majlis tempatan masing-masing)
Undang-undang kecil seperti Undang-Undang Kecil Penjaja MBPJ 2007 atau Undang-Undang Kecil Penjaja MBSA memperincikan keperluan mendapatkan lesen dan penalti jika melanggar.

c. Akta Makanan 1983 & Peraturan Kebersihan Makanan 2009
Penjaja makanan diwajibkan memiliki Sijil Pengendalian Makanan dan suntikan tifoid sebagai syarat lesen, selaras dengan aspek kesihatan awam.

2. Punca Masalah Penjaja Tanpa Lesen

Birokrasi pelesenan yang rumit dan tempoh permohonan yang panjang. Sebagai contoh lawatan tapak perlu dibuat dan diluluskan oleh PBT dan ia mengambil waktu yang lama.

Ketiadaan tapak atau kuota mencukupi bagi peniaga kecil di kawasan tumpuan. Penjaja berpendapatan rendah tidak mampu membayar caj permulaan, seperti lesen. Kurang kesedaran undang-undang, terutama dalam kalangan warga emas atau imigran sah.

3. Pendekatan Perundangan yang Boleh Diambil

a. Reformasi Undang-Undang Kecil Penjaja
Kerajaan Negeri boleh menyelaras semula undang-undang kecil semua PBT agar:
Mewujudkan kategori lesen sementara atau khas bagi penjaja baru dan B40. Memperkenalkan mekanisme ‘lesen bergerak’ atau ‘pas berniaga harian’ di lokasi terpilih.

b. Pemetaan Zon Penjajaan Sah
PBT harus menggunakan kuasa di bawah Seksyen 101 Akta 171 untuk mengisytiharkan zon penjaja sah, terutamanya di kawasan komersial dan tumpuan ramai.
Zon ini boleh diurus dengan sistem giliran atau ‘trading sessions’ bagi mengelakkan monopoli.

c. Pendekatan Penguatkuasaan Berhemah
Penguatkuasaan perlu berpaksikan pendidikan dan pemulihan, bukan hukuman semata-mata. PBT perlu jadi pembimbing kepada rakyat. Amaran dan notis perlu diberikan sebelum tindakan penyit

aan dilakukan. Adanya budi bicara dan kemanusian.
Wujudkan ‘Program Pengesahan Penjaja’ untuk membimbing penjaja ke arah pelesenan penuh.

4. Cadangan Polisi Tambahan Berdasarkan Prinsip Undang-Undang

a. Hak untuk Mencari Nafkah
Berdasarkan Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan, rakyat berhak kepada kebebasan hidup dan perlindungan yang sama di sisi undang-undang. Penjaja kecil seharusnya dilihat sebagai penyumbang ekonomi mikro, bukan penjenayah bandar.

b. Pendekatan ‘Legal Empowerment’
Bina pusat sehenti (one-stop-centre) di PBT untuk memberi penerangan undang-undang, bantuan dokumen, dan laluan pelesenan cepat kepada peniaga kecil. Kerjasama antara Majlis Peguam Negeri Selangor, NGO, dan PBT boleh diwujudkan untuk klinik guaman percuma bagi peniaga mikro.

c. Perundangan Inklusif Berasaskan Data
Mewujudkan sistem pendaftaran tidak formal (pre-license registration) agar penjaja tanpa lesen dapat dimasukkan dalam perancangan dasar PBT. Semua dasar dan undang-undang kecil harus disemak sekurang-kurangnya setiap 5 tahun secara inklusif.

Kesimpulan

Mengatasi isu penjaja tanpa lesen bukan hanya tentang penguatkuasaan atau hukuman. Ia menuntut pemahaman mendalam terhadap realiti sosial dan keperluan ekonomi rakyat.

Undang-undang yang adil bukanlah yang keras, tetapi yang memberi laluan kepada semua golongan untuk mematuhi dan menyumbang.

Kerajaan Negeri Selangor dan pihak berkuasa tempatan perlu memimpin dengan pendekatan ‘keseimbangan antara undang-undang dan kemanusiaan’, demi memastikan setiap penjaja walau kecil mana pun modalnya – diberi peluang berniaga secara sah dan bermaruah.


Adzly Ab Manas
Peguambela Peguamcara
Aktivis Hak Asasi Manusia
Ketua Biro Perundangan dan Pilihan Raya UMNO Bahagian Sungai Buloh

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79