Hari TVET Negara 2025 Pemacu Lahirkan Generasi Pekerja Berkemahiran Tinggi – Ketua Menteri Melaka
AYER KEROH, 12 Jun – Sambutan Hari TVET Negara 2025 disifatkan sebagai pemacu utama atau ‘game changer’ dalam usaha melahirkan generasi pekerja berkemahiran tinggi yang mampu meraih pendapatan lumayan, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau menyertai sesi ‘walkabout’ pagi ini bersama Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sempena pelancaran sambutan tersebut yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh. Program ini berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga Sabtu.
“Biarpun masih pagi, namun sambutan cukup meriah dengan ‘lautan’ anak-anak muda yang mahu merebut peluang mendalami pelbagai kursus serta peluang pekerjaan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya.
Ab Rauf turut memaklumkan bahawa sebanyak 12 kementerian bersama agensi serta pemain industri berkaitan TVET mengambil bahagian dalam pameran dan aktiviti selama tiga hari ini.
Ujarnya, kehadiran mereka mencerminkan komitmen dan sinergi semua pihak dalam merealisasikan agenda pemerkasaan TVET secara menyeluruh.

Beliau juga menjangkakan lebih 80,000 pengunjung akan membanjiri sambutan Hari TVET Negara 2025 kali ini.
“Ayuh anak muda, ini masanya untuk kita melihat bidang TVET sebagai pemacu utama pembangunan negara!” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya. – UMNO Online