Dialog ATC 4th RPD Perlu Garis Hala Tuju Jelas Bagi TVET – Ahmad Zahid
MELAKA, 12 Jun – Dialog Dasar Serantau Keempat Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional ASEAN (ATC 4th RPD) perlu merangka hala tuju yang jelas bagi memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata dialog pada hari ini bertujuan membina ekosistem bersifat ASEAN secara menyeluruh yang meletakkan TVET sebagai tunjang masa depan rantau ini, dengan Majlis TVET ASEAN (ATC) sebagai pusat koordinasi yang menghubungkan dasar, menyelaras piawaian dan memacu pertumbuhan bersama.
“Pertama sekali, kita perlu memperluas akses TVET kepada komuniti luar bandar, khususnya golongan belia, kerana masa depan tidak boleh dibina hanya berasaskan kemahiran penduduk bandar.
“Di Malaysia, GiatMARA, sebuah institusi TVET di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan kementerian saya, telah membuktikan kemampuannya. Ia telah melengkapkan belia luar bandar dengan pelbagai kemahiran dan lebih 50 graduan telah menjadi jutawan dalam bidang teknikal,” katanya dalam ucaptama pada ATC 4th RPD bertemakan “TVET for Rural and Regional Advancement” di sini semalam.
Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Rubiah Wang serta wakil dari ASEAN, Jerman dan Australia.
Ahmad Zahid berkata yang kedua, ASEAN perlu merapatkan jurang kemahiran melalui latihan yang diterajui industri dan dipacu oleh permintaan, bagi membina saluran bakat serantau yang dibentuk oleh sektor perkilangan, perladangan dan industri hijau di seluruh ASEAN.
“Ini memerlukan kerjasama industri untuk bersama-sama membangunkan modul latihan, berkongsi program perantisan dan membuka peluang pekerjaan merentasi sempadan negara,” katanya.
Menurut beliau langkah ketiga ialah membangunkan TVET sebagai satu ekosistem menyeluruh yang menyepadukan pendidikan, industri, infrastruktur, pensijilan dan akses digital, semuanya dipandu oleh data dan diselaraskan oleh ATC.
“Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia bersedia untuk menyelaras dan memimpin. Kami mencadangkan agar Malaysia diiktiraf secara rasmi sebagai Hab Pensijilan dan Kecemerlangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ASEAN, dan kami mengharapkan sokongan penuh semua negara anggota untuk menjayakan inisiatif ini sebagai satu legasi serantau bersama,” katanya.
Beliau berkata dunia kini menyaksikan perubahan besar apabila TVET tidak lagi di pinggiran, sebaliknya berada di tengah-tengah strategi ekonomi negara. Dalam perlumbaan global untuk terus relevan, kemahiran adalah ‘mata wang’ baharu.
Malaysia bukan sahaja memperjuangkan pembangunan kemahiran, malah sedang meletakkan asas untuk ASEAN menjadi kuasa besar dalam bidang TVET.
“Marilah kita bekerjasama memastikan TVET kekal mudah diakses, relevan dan tahan masa depan untuk semua. Marilah kita berikrar membina ASEAN yang tidak meninggalkan mana-mana bakat atau komuniti.
“Dengan gabungan latihan, bimbingan dan akses pasaran yang tepat, TVET akan menjadi medium berkuasa untuk membasmi kemiskinan dan membawa perubahan generasi,” katanya. – BERNAMA