Ahmad Zahid Ajak Kunjungi Hari TVET Negara 2025, Pacu Pembangunan Negara

MELAKA, 12 Jun – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak orang ramai mengunjungi Hari TVET Negara (HTN) 2025 yang sedang berlangsung meriah di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.

Beliau yang turut ditemani oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh telah melungkan masa menyantuni para peserta dan pengunjung di sini dengan hadir ke reruai-reruai pameran.

“Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat menggalakkan. Saya amat gembira melihat keterlibatan begitu ramai anak muda dari pelbagai latar belakang yang sungguh bersemangat menunjukkan minat terhadap masa depan kemahiran negara,” ujar beliau menerusi hanataran dalam laman Facebooknya.

Menurut Ahmad Zahid, penglibatan aktif generasi muda dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) amat penting dalam memacu pembangunan modal insan negara selaras dengan keperluan industri semasa.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh tenaga kerja yang bertungkus-lumus menjayakan penganjuran HTN 2025 serta penghargaan kepada semua pengunjung yang hadir memeriahkan acara.

“Mudah-mudahan kunjungan anda membawa pulang pengalaman baharu dan ilmu yang bermanfaat, insya-Allah,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid telah bersiaran secara langsung bersama program ‘Selamat Pagi Malaysia’ yang berkongsi mengenai kepentingan sambutan ini dalam memacu pembangunan TVET di Malaysia.

Menurut beliau, Hari TVET Negara merupakan acara tahunan penting yang mencerminkan usaha kolektif pelbagai pihak termasuk kementerian, agensi, rakan industri dan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh ekosistem TVET negara.

“Sambutan ini bukan sekadar acara, tetapi simbol kesepaduan dan iltizam kita untuk memperkasa masa depan anak-anak muda Malaysia,” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai, khususnya warga Melaka, agar tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi MITC Melaka bagi melihat sendiri transformasi dunia TVET yang sedang giat berlaku dengan program tersebut berlangsung sehingga esok.

“Insya-Allah, inilah antara langkah penting yang sedang kita jayakan demi membina masa depan Malaysia yang lebih inklusif dan berdaya saing,” tambahnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79