Usahawan Wanita Wajar Diberi Modal Pembiayaan Perniagaan Lebih Besar – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 11 Jun – Usahawan wanita di negara ini wajar diberikan modal pembiayaan perniagaan yang lebih besar bagi membantu mereka memperluaskan perusahaan selain membawa produk dihasilkan menembusi pasaran antarabangsa, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, langkah itu wajar terutamanya melibatkan usahawan wanita yang kekurangan akses kepada modal kewangan.
“Kita juga wajar menyelaras Skim Dana Pemerkasaan Wanita Global sebagai skim pembiayaan eksport, yang dirangka khusus untuk membantu usahawan wanita berpotensi tinggi. Dana ini harus fokus kepada pensijilan eksport, penyertaan dalam ekspo antarabangsa, penjenamaan global dan keperluan logistik.
“Cadangan meningkatkan modal pinjaman ini munasabah, kerana saya ambil contoh Amanah Ikhtiar Malaysia yang hampir 100 peratus peminjamnya adalah wanita, kita lihat NPL (non performing loan) mereka amat rendah sekitar 0.1 peratus sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Women In Export Forum 2025, program anjuran bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Pertubuhan Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia (Hawa) di Matrade di sini pada Selasa.
Hadir sama, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Pengerusi Matrade, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Pengerusi Hawa,Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut mencadangkan penubuhan sebuah Women Export Incubator, sebagai sebuah pusat sehenti yang berperanan menyediakan ekosistem sokongan bagi usahawan wanita yang ingin menembusi pasaran antarabangsa.
Beliau berkata, inkubator berkenaan perlu menawarkan khidmat mentor eksport, latihan pensijilan antarabangsa, ruang kerja bersama serta klinik perniagaan digital, terutamanya untuk menyantuni golongan wanita dari kawasan luar bandar dan kumpulan B40.
“Saya juga mengusulkan satu Anugerah Wira Ekonomi Wanita bagi mengiktiraf tokoh-tokoh wanita yang telah mencipta impak besar dalam sektor perdagangan, teknologi, industri halal dan eksport serantau, ia bukan sahaja memberi suntikan semangat, malah menjadi platform diplomasi ekonomi, memperkukuh penjenamaan Malaysia di mata dunia.
“Pada masa sama kita harus mempelopori Program Perdagangan Hijau untuk Wanita, inisiatif yang melatih dan menyokong wanita dalam pengeluaran produk mesra alam yang mematuhi prinsip ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus),” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara juga mahu platform TVET dimanfaatkan untuk memperkukuh kemahiran wanita dalam pelbagai bidang, termasuk teknologi dan keusahawanan. – Bernama