‘UMNO Payung Sebenar Orang Melayu’ – Ismail

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Ketua Penerangan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menyifatkan UMNO sebagai payung sebenar dalam memperjuang nasib orang Melayu di negara ini.

Katanya, tiada keperluan untuk diwujudkan inisiatif baharu menggabungkan orang Melayu di bawah satu payung melalui Sekretariat Orang Melayu seperti dilakukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

“UMNO sebagai parti Melayu sedia ada dengan keahlian yang ramai. Kenapa tidak pemimpin-pemimpin lama ini perkukuhkan balik UMNO? UMNO ini sebenarnya adalah payung kepada orang Melayu sejak dulu, tapi lemahnya UMNO ini kerana dipecah-pecahkan.

“Jadi kenapa kita perlu buka satu institusi lain ataupun satu gerakan lain? Kenapa tak kukuhkan parti UMNO saja?” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah dalam pada itu percaya Sekretariat Orang Melayu tidak akan bertahan lama seperti gagasan yang dilakukan Tun Dr Mahathir sebelum ini.

Menurut Ismail ini kerana ia memberi kesan kepada sokongan orang Melayu yang berpecah, sekaligus memberikan impak kepada pertubuhan baharu seperti dilaksana bekas Perdana Menteri itu.

“Saya tak rasa bertahan lama sebab selama ini bila dia gerakkan sesuatu itu seperti yang berlaku pada Pakatan Harapan ketika di bawah Tun Mahathir ketika itu tapi akhirnya orang Melayu lebih pun pecah.

“Semuanya berakhir dengan kegagalan malahan orang Melayu tersurai dan tiada kekuatan,” ujar beliau.

Sebelum ini, Tun Dr Mahathir mengumumkan penubuhan Sekretariat Orang Melayu bagi menyatukan semua pihak yang memperjuangkan nasib orang Melayu di bawah satu payung besar.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, inisiatif tersebut merupakan langkah untuk mengembalikan kuasa politik dan cabaran yang dihadapi orang Melayu. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79