UMNO Kalabakan Teruskan Program Ziarah Kasih, Santuni Keluarga Di Kampung Pukat

KALABAKAN, 11 Jun – Program Ziarah Kasih anjuran UMNO Bahagian Kalabakan diteruskan lagi sebagai usaha berterusan mendekati masyarakat dan membantu golongan yang memerlukan.

Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Samasuddin Yusop berkata, kali ini, program berlangsung di Kampung Pukat, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.71 Tanjung Batu.

Ujarnya, program tersebut merupakan satu inisiatif kemasyarakatan yang dilaksanakan secara konsisten untuk memastikan bantuan sampai terus kepada rakyat di peringkat akar umbi.

Dalam program kali ini, beliau berpeluang bertemu dan menyantuni seramai 20 keluarga kurang berkemampuan, sambil menyampaikan 20 unit bakul makanan sebagai tanda prihatin terhadap bebanan kos sara hidup yang semakin mencabar.

“Walaupun sumbangan ini tidak seberapa, saya berharap ia dapat memberi sedikit kelegaan dan manfaat kepada keluarga yang menerimanya. Ini merupakan komitmen UMNO Kalabakan untuk terus bersama masyarakat dan membantu selagi termampu,” kata Samasuddin.

Beliau menegaskan bahawa program seumpama ini akan terus dilaksanakan dari masa ke masa, sebagai salah satu platform untuk memperkukuh hubungan antara UMNO dan masyarakat, khususnya di kawasan pedalaman yang memerlukan perhatian.

Samasuddin turut menyeru agar lebih ramai pihak bersama-sama memainkan peranan dalam membantu meringankan beban rakyat, terutamanya mereka yang terkesan akibat tekanan ekonomi dan cabaran kehidupan harian.

“Program Ziarah Kasih ini membuktikan bahawa UMNO Kalabakan sentiasa cakna dan proaktif dalam menyantuni masyarakat setempat, sejajar dengan semangat perjuangan parti untuk membela nasib rakyat tanpa mengira latar belakang,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79