Tragedi Bas UPSI: Perlukan Tindakan Dan Solusi, Bukan Sekadar Takziah Dan Simpati

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Pengarah Komunikasi UMNO Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri menyifatkan kemalangan bas yang mengorbankan 15 penuntut UPSI memerlukan siasatan bebas yang telus dijalankan seterusnya hasil diumumkan kepada rakyat.

Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar berkata ini kerana tragedi perlu dijadikan sebagai iktibar.

“Kita tidak boleh terus membiarkan kematian anak muda berlaku berulang kali tanpa pembetulan dasar yang menyeluruh.

“Demi nyawa anak bangsa, kita mesti bergerak dari simpati kepada solusi. Al-Fatihah buat semua yang telah pergi, semoga pengorbanan mereka membuka jalan kepada pembaharuan sebenar,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tambah beliau, apatahlagi mangsa merupakan anak-anak muda yang sedang mengejar ilmu dan masa depan yang menjadi harapan keluarga, masyarakat dan negara.

Syed Mohd Johan berkata di peringkat akar umbi, setiap berita kematian bukan angka semata-mata, tetapi luka yang ditanggung bersama rakyat.

Dalam pada itu beliau menyambut baik tindakan segera Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang turun padang ke hospital serta komitmen Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menggerakkan bantuan dan pengurusan mangsa dengan pantas.

Terdahulu seramai 15 penumpang bas yang membawa pelajar UPSI disahkan maut apabila bas yang dalam perjalanan pulang ke universiti itu terbabit dalam kemalangan dan terbalik di Jalan Jeli – Gerik berhampiran Tasik Banding, Perak kira-kira jam 1 pagi Ahad. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79