Laksana Pemeriksaan Bas Secara Tegas, Elak Tragedi Kemalangan Berulang – Bung Moktar

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berharap pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksana pemantauan berkala dan pemeriksaan menyeluruh ke atas bas serta rekod pemanduan dilakukan secara lebih tegas.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan berkata ini kerana tragedi kemalangan bas yang berlaku di Gerik perlu dijadikan iktibar.

“Jangan tunggu kejadian seumpama itu berlaku di Sabah sebelum kita membuka mata.

“Keselamatan penumpang bukan opsyen, tetapi kewajipan mutlak,” katanya menerusi satu kenyataan.

Bung juga turut menyeru agar kesemua pemandu bas ekspres di Sabah sentiasa mematuhi had laju yang ditetapkan dan tidak mengambil ringan soal keselamatan nyawa penumpang yang berada di bawah tanggungjawab mereka.

Katanya alasan mengejar masa untuk memandu secara melulu atau melebihi had laju tidak boleh diterima sama sekali.

“Setiap nyawa dalam bas itu adalah amanah ibu bapa, anak-anak, pekerja dan pelajar yang hanya mahu sampai ke destinasi dengan selamat. Sedetik kecuaian boleh membawa padah yang tidak boleh ditebus dengan wang ringgit atau penyesalan.

“Saya juga menyarankan agar semua syarikat pengendali bas di Sabah meningkatkan pemantauan ke atas jadual kerja pemandu, memastikan mereka tidak dibebankan dengan waktu pemanduan yang panjang sehingga menjejaskan tahap fokus dan keselamatan ketika memandu.

“Pengurusan risiko mesti menjadi keutamaan, bukan hanya keuntungan semata-mata,” ujar beliau.

Beliau dalam pada itu meluahkan dukacita terhadap tragedi yang berlaku membabitkan pelajar UPSI dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

“Kejadian menyayat hati itu bukan sahaja meragut nyawa anak-anak muda yang masih menuntut ilmu, tetapi turut menjadi peringatan besar kepada seluruh pengendali dan pemandu bas ekspres di negara ini, khususnya di Sabah,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79